PAKKU mahu BN pilih calon sihat, tak merokok

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (PAKKU) mencadangkan supaya individu yang tidak merokok dan sihat diberi keutamaan dalam pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Tan Sri Adam Abdul Kadir, berkata cadangan ini bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih itu dapat berkhidmat dengan baik selain berisiko rendah dihidapi penyakit akibat merokok.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat mereka perlu menyokong polisi yang dilaksanakan kerajaan termasuk kempen tidak merokok supaya dapat dijadikan contoh kepada masyarakat.

“Sepatutnya setiap wakil rakyat sentiasa menyokong polisi dilaksanakan kerajaan. Lagipun, jika kita tidak merokok dan bersenam pastinya lebih sihat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik, berkata cadangan memasukkan tahap kesihatan ke dalam Indeks Prestasi Utama wakil rakyat adalah baik, namun ia bukan jaminan mereka akan sentiasa sihat disebabkan tanggungjawab dilaksanakan.

“Paling penting ialah wakil rakyat perlu memastikan mereka sentiasa sihat untuk berkhidmat.

“Mereka juga perlu belajar mengawal tekanan berikutan tanggungjawab berbeza dengan masyarakat lain.

“Walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan, wakil rakyat mesti menjaga kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk berkhidmat,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan mencadangkan tahap kesihatan dimasukkan ke dalam KPI setiap wakil rakyat sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Langkah itu dianggap perlu kerana kematian wakil rakyat akibat penyakit tidak berjangkit semakin membimbangkan dan ia merugikan negara kerana terpaksa mengeluarkan belanja banyak untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008, sebanyak 14 pilihan raya kecil diadakan dan dua lagi bakal diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau berikutan kematian penyandangnya.

Daripada jumlah itu, 12 wakil rakyat meninggal dunia akibat penyakit tidak berjangkit, termasuk sakit jantung dan barah.

No comments

Powered by Blogger.