Di manakah kesudahan strategi politik PAS?

http://ka​lamperanta​u.wordpres​s.com

Ekoran dari perkembangan terbaru dengan kematian ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, Perlis sahaja satu-satunya negeri yang belum diadakan pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 lalu. Paling banyak ada di Pulau Pinang, iaitu 3 kali dan menjadi lebih menarik bila dua kerusi DUN dalam parlimen dalam Permatang Pauh, iaitu DUN Penanti dan Permatang Pasir serta Parlimen Permatang Pauh sendiri bertukar penyandang.

Kerusi parlimen Permatang Pauh diadakan pilihanraya kecil pada bulan Ogos, 2008, yakni tidak sampai 6 bulan dan menjadi yang pertama selepas PRU ke-12 lalu. Kerusi tersebut diserahkan semula oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun 2009 bolehlah diistiharkan tahun pilihanraya kecil kerana sepanjang tahun tersebut sebanyak 8 pilihanraya kecil diadakan melibatkan 2 kerusi parlimen dan 6 kerusi DUN. PAS berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada UMNO (BN) dalam pilihanraya kecil diadakan pada bulan Januari, 2009 dan mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihanraya kecil pada bulan April, 2009.

Manakala bagi 6 kerusi DUN pula, semua parti mengekalkan kerusi DUN masing-masing pada PRK 2009, iaitu PKR bagi DUN Bukit Selambau (April, 2009) dan Penanti (Mei, 2009) dan PAS pula mengekalkan Manek Urai ((Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009) serta BN pula mengekalkan Batang Ai (April, 2009) dan Bagan Pinang (Oktober, 2009).

Tetapi pada tahun 2010, daripada 3 pilihanraya kecil Parlimen dan satu pilihanraya kecil DUN keadaan tidak lagi menyebelahi PR dan pencapaian BN menjadi semakin baik. BN (MIC) berjaya merampas kerusi parlimen Hulu Selangor (April, 2010) dari PKR tetapi BN (SUPP) kecundang di kerusi parlimen Sibu (Mei, 2010) kepada DAP serta BN (PBS) berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi (November, 2010). Nasib tidak menyebelahi PR, bila PAS kecundang kepada BN (UMNO) dalam PRK DUN Galas (November, 2010).

Tirai pilihnraya kecil pada 2011 merupakan ujian kepada BN (UMNO) pula sama ada mampu mengekalkannya atau pun tidak. BN (UMNO) memulakannya dengan baik bila ianya berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang, Johor (Januari, 2011).Sekarang perhatian tertumpu kepada kerusi DUN Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang pula.

Sekarang ini merupakan pertarungan antara UMNO dan PAS secara langsung. Sejak kalah dalam pilihanraya kecil DUN Galas tempohari, kelihatan PAS sedang mencari-cari strategi yang sesuai.

Bagi tahun 2009, ternyata ianya memihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) bila berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut (MAWE) yang juga ADUN Wakaf Mempelam.

Ekoran daripada kemenangan ini, PAS sekali lagi mempertarohkan Ir Mohd Nizar Jamaluddin, ADUN Pasir Panjang yang juga bekas Menteri Besar Perak dan berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang.

Ini menjadikan kedua-dua ADUN ini (Wahid dan Nizar) memegang dua kerusi serentak, yakni kerusi DUN dan Parlimen, selain daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang).

Jika dilihat kepada perubahan kerusi diantara BN dan PR atau PAS dengan UMNO sepanjang 2008-2010, tidak banyak kesannya. UMNO dengan PAS boleh dikatakan seri dimana PAS berjaya merampas kerusi parlimen Kuala Terengganu, tetapi UMNO pula berjaya merampas kerusi DUN Galas, Kelantan.

Selain itu, DAP berjaya menambah satu kerusi (Parlimen Sibu) dan PKR kehilangan satu kerusi (parlimen Hulu Selangor). Selain daripada kerusi tersebut, ianya dikekalkan kepada parti yang memenanginya dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Ekoran kegagalan PAS mempertahankan DUN Galas, PAS memulakan eksperimen baru. Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya kecil PAS meletakkan calon wanita, Normala Sudirman (Cikgu Mala) dalam pilihanraya kecil DUN Tenang.

Tanpa menidakkan strategi PAS, pemerhati politik sedang melihat, adakah PAS konsisten dalam eksperimen terbaru yang sedang dilakukannya sekarang dikekalkan atau tidak, meletakkan calon wanita sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau?

PRK Merlimau dan Kerdau Serentak?

Belum sempat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Merlimau, Melaka diadakan pada Sabtu, 26hb. Februari, 2011 akan datang, satu lagi pilihanraya kecil di DUN Kerdau, Pahang terpaksa diadakan ekoran Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya Sabtu, 12 Februari lalu.

Bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan pada 23 Februari sementara calon PAS pula diijangka akan diumumkan pada 24hb Februari ini iaitu dua dan tiga hari sebelum penamaan calon pada 26 Februari ini. Manakala bagi DUN Kerdau pula, perhatian lebih tertumpu kepada SPR sama ada untuk membuat pilihanraya kecil serentak atau tidak?

Keadaan yang berlaku sekarang adalah hampir sama dengan apa yang berlaku sebelum pihanraya kecil DUN Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah yang diadakan serentak pada bulan November, 2010 atau sebelum Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak, DUN Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Ai, Sarawak yang diadakan serentak pada April 2009.

Tidak sebab untuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk tidak mengadakan PRK DUN Kerdau diadakan serentak dengan pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 5hb. Mac, 2011 nanti. Kerdau menjadi PRK ke-16 dan Merlimau menjadi PRK ke-15 selepas PRU ke-12 yang lalu.

No comments

Powered by Blogger.