DUN Merlimau: Pakatan putuskan sama ada PAS atau PKR 7 Feb

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 2 Feb — Pakatan Rakyat akan memutuskan parti yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka 7 Februari ini.

Perikatan tiga parti itu akan mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi pada Isnin.

Kedua-dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar mengesahkan pertemuan itu yang akan menentukan sama ada parti itu atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding di kerusi itu.

“Kalau ikut status quo 2008, memang PAS akan meletakkan calon tapi kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat itu.

“Kita akan umumkan selepas mesyuarat itu selesai,” kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Mahfuz menjelaskan beliau baru dimaklumkan mengenai mesyuarat itu dan menjangkakan pilihan raya DUN Merlimau akan dibincangkan.

“Saya baru dapat mesej kata ada mesyuarat pada 7 Februari ini tapi tidak dimaklumkan apa agendanya.

“Tapi pilihan raya kecil Merlimau akan dibincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya.

PKR sebelum ini berminat untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS dengan meletakkan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar juga merupakan ketua PKR Melaka.

PKR mahu meletakkan calon mereka meskipun Pakatan Rakyat merasakan wajar menurunkan semula wakil PAS pada pilihan raya kecil ke-15 itu sejak Mac 2008.

Kerusi itu ditandingi calon PAS pada pilihan raya umum Mac 2008 dan empat tahun sebelumnya calon PKR.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

No comments

Powered by Blogger.