Nik Aziz 1 — Awang Selamat

20 FEB — Setelah banyak membawa kecelaruan kepada umat Islam di negara ini selain mencetuskan keresahan kepada masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat bertukar nada.

Semalam, Nik Aziz menyatakan bahawa perjuangan terhadap Melayu perlu diutamakan. “Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia),” katanya.

Malah katanya lagi, kaum paling dominan adalah orang Melayu. Perubahan nada dan pendirian beliau itu mengundang persoalan. Selama ini, Nik Aziz mengetepikan hakikat Melayu perlu diberi lebih perhatian. Beliau langsung tidak mengambil kira soal sejarah, realiti masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan dan keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Mana-mana pihak yang mengambil pendekatan memperjuangkan kepentingan Melayu, akan dianggapnya sebagai jahil.

Tetapi Awang tidak terkejut. Demi politik, Nik Aziz boleh berubah sekelip mata. Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Aziz akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya umum dan kemudian menjadi pemerintah bersama dengan DAP dan PKR.

Hakikatnya di kalangan ramai orang Islam dan masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas itu dilihat sebagai ancaman kepada masa depan agama dan bangsa. Pendirian beliau dalam banyak isu termasuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama lain, tunduk kepada DAP dan mengetepikan agenda perjuangan bangsa, menghiris hati masyarakat Melayu.

Apabila pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menyeru umat Islam republik itu mengurangkan amalan nilai-nilai Islam baru-baru ini, Nik Aziz sanggup mempertahankan beliau.

Pada pilihan raya kecil di Tenang, beliau sekali lagi mencetuskan keresahan apabila mendakwa umat Islam yang tidak mengundi Pas adalah golongan jahiliah.

Kini Nik Aziz macam lalang ditiup angin terpaksa berpatah balik untuk menyakinkan semula masyarakat Melayu. Pada Awang, itu tidak cukup. Beliau sepatutnya memohon maaf atas banyak kenyataan dan tindak-tanduknya yang memudaratkan kepentingan agama dan bangsa.

Awang juga tertarik dengan perubahan strategi Pas sehingga terpaksa mengadakan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas.

Rasanya tidak perlulah Pas bersusah payah mengadakan konvensyen seumpama itu. Ia tidak akan memberi sebarang kesan selagi Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pas terus dicucuk hidung oleh DAP dan PKR. — Mingguan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

1 comment

Default Tracing said...

salam tuan,

sy terbaca kenyataan begini:-

Petikan teks ucapan beliau yang menyebut tentang perkara tersebut adalah seperti berikut : “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat – Surah al-Syuara’, ayat 214.

Ayat ini memerintahkan agar Rasulullah SAW mengutamakan kaum keluarganya terlebih dahulu di dalam menyampaikan dakwah. Perkataan asyirah di dalam ayat ini bukanlah bermakna kaum tetapi bermakna keluarga. Dalam konteks Malaysia, kaum yang paling dominan dengan Islam ialah kaum Melayu sekalipun Islam tidak terbatas untuk bangsa Melayu sahaja.

adakah n 3 ini sengaja berbuat demikian?

sekian tk.

Powered by Blogger.