Pemuda PAS: Kami bukan polis moral tapi mahu selamatkan generasi muda

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 11 Feb — Di tengah kritikan pelbagai pihak berhubung isu kempen penguatkuasaan sempena sambutan Hari Valentine minggu depan, Dewan Pemuda PAS menegaskan, pihaknya “bukan penghukum dan juga “bukan polis moral” tetapi akan meneruskan kerja-kerja menyelamatkan generasi muda.

Ketuanya Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, biarpun berdepan dengan kritikan pedas daripada pelbagai pihak, sayap pemuda PAS itu akan terus berjuang dan berdakwah bagi menyelamatkan generasi muda daripada terus dimangsakan oleh pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Malah tegas Nasrudin, beliau sedia menawarkan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS dengan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk memantau perkembangan dan kegiatan tidak bermoral dan memberi didikan kepada mereka yang terjebak agar insaf.

Katanya, beliau berharap agar kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat menjadi contoh kepada negara untuk mendidik rakyat bukan sahaja dalam aspek politik dan ekonomi tetapi juga ke arah membentuk iklim sosial yang jernih dan harmoni.

“Sementara saya tiada authoriti untuk memberi arahan kepada sebuah kerajaan negeri sebagaimana saya juga bukan polis untuk menangkap pesalah.

“Saya hanya pendakwah bukan penghukum,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu tegas beliau, pihaknya akan turun sebagai “duta penyelamat dan kasih sayang” dengan membawa misi dakwah untuk mendidik serta membimbing masyarakat khasnya generasi muda muslim hari ini agar tidak hanyut dibawa arus keruntuhan moral.

“Namun kami bukan penghukum, kami juga bukan polis moral, malah kami bukan penguat kuasa,” kata Nasrudin.

Tambah beliau, pihaknya adalah pendakwah yang bertanggungjawab untuk mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam sebarang kegiatan, aktiviti dan perlakuan yang tidak bermoral, yang implikasinya akan merosakkan maruah diri, nilai tamadun dan nama baik negara.

Semalam, Nasrudin berhadapan dengan kritikan pelbagai termasuk rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat ekoran laporan bahawa akan melancarkan kempen membendung aktiviti tidak sihat pada sambutan Hari Kekasih, Isnin ini.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke menegaskan parti itu tidak bersetuju sama sekali pendekatan yang diambil Nasrudin untuk melakukan “pemeriksaan tidak bermoral” terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.”

Ia melampaui kuasa ahli Pemuda PAS untuk melakukan penguatkuasaan sedemikian dan kempen itu tidak pernah dibincangkan dengan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP.

PAS Selangor juga menolak cadangan Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin yang mahu melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Justeru kata Nasrudin, gerakan dakwah itu akan disemarakkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS di seluruh negara melalui Pemuda negeri masing-masing dengan memilih beberapa lokasi sasaran yang berpotensi berlakunya kegiatan tidak bermoral sempena sambutan Hari Valentine.

“Dakwah atau gerakan mengedar risalah didikan serta menyantuni mereka yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral sebenarnya telah menjadi aktiviti rutin Dewan Pemuda PAS sejak berzaman lamanya,” katanya.

Sebagaimana Pemuda PAS tegas membanteras kegiatan tidak bermoral dalam politik seperti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, pembaziran dan rasuah, kata beliau, maka Dewan Pemuda PAS juga istiqamah membanteras perlakuan tidak bermoral dalam sosial seperti pergaulan bebas, seks bebas dan vandalisme.

Nasrudin menambah, Pemuda PAS sedia menghulurkan kerjasama, malah mengharapkan kerjasama daripada pihak berkuasa kerajaan negeri khasnya negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk turun ke padang menyelamatkan generasi muda daripada terjebak dalam kancah moral negatif.

Katanya, kempen ‘No Panties For Valentine Day’ pada tahun lalu, sebagai contoh, kegiatan tidak bermoral yang dibimbangi masih berterusan dalam aktiviti yang pelbagai dan nama yang berbeza untuk mengelirukan orang ramai serta pihak berkuasa.

“Saya masih percaya bahawa kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mahu membiarkan generasi mudanya yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa akan datang terperangkap dalam perlecehan moral yang merosakkan reputasi diri dan nilai maruah mereka,”

katanya.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak adil apabila rakyat begitu tegas menentang kegiatan tidak bermoral di pentas politik dan ekonomi seperti penyalahgunaan kuasa, pembaziran, rasuah, penipuan dan penindasan tetapi berdolak dalih dalam usaha memurnikan iklim sosial negara dari kegiatan tidak bermoral.

Oleh itu katanya, Dewan Pemuda PAS tidak hanya turun pada Hari Valentine tetapi juga pada malam sambutan ulang tahun Kemerdekaan, Tahun Baru dan hari-hari yang dianjurkan pesta atau karnival yang mempromosi atau menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas.

“Kami Pemuda PAS tekad akan selamatkan generasi muda Muslim dan siapa jua yang mahu daripada hanyut dibawa arus maksiat serta mungkar dengan penuh kasih sayang demi masa depan mereka dan juga masa depan negara, biarpun berdepan dengan pihak yang terus mahu menyuburkan aktiviti tidak bermoral dan sengaja tidak mahu memahami hasrat dan tindakan kami,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.