Hosni enggan berundur, pembangkang beri amaran ‘Mesir akan letup’

KAHERAH, 11 Feb — Presiden Mesir Hosni Mubarak terus menolak tuntutan penunjuk perasaan sambil menegaskan, beliau akan kekal menerajui negaranya sehingga pemilihan September ini.

Komen beliau dalam ucapan menerusi televisyen muncul ketika sesetengah pihak mendakwa Hosni akan berundur segera.

Sehubungan itu kata Hosni ,beliau akan menyerahkan sebahagian kuasa kepada naibnya Omar Suleiman tetapi tiada butiran diberikan.

Awal bulan ini beliau berjanji tidak akan bertanding buat penggal keenam September ini ketika tunjuk perasaan masuk hari yang ke-17.

“(Saya) tidak boleh dan tidak akan menerima arahan-arahan dari luar (supaya berundur),” katanya sambil menegaskan akan kekal sebagai ketua negara sehingga pemilihan presiden September.

“Saya tidak akan berpisah dari tanah Mesir sehingga saya dikebumikan,” kata Hosni lagi.

Sejurus selepas ucapan Hosni, Omar berkata, beliau komited untuk melakukan apa sahaja bagi memastikan peralihan kuasa secara aman.

Katanya, beliau komited untuk memenuhi tuntutan rakyat menerusi dialog, yang sudah pun bermula dan bersetuju untuk merangka pelan ke arah peralihan kuasa.

“Kami telah membuka pintu untuk dialog... tuntutan akan dipenuhi mengikut jadual (yang ditetapkan),” katanya.

Omar berkata, tentera telah memberi perlindungan kepada “revolusi orang muda” dan menasihatkan penunjuk perasaan agar “kembali ke rumah” masing-masing dan “balik bekerja.”

No comments

Powered by Blogger.