Pendakwaan ke atas Shuhaimi bermotif politik- Peguam

Fadli

SHAH ALAM: Pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang dikenakan pertuduhan di bawah Akta Hasutan di mahkamah hari ini bermotifkan politik semata-mata.

Peguam, Amir Hamzah Arshad berkata, beliau mempersoalkan tindakan mahkamah itu kerana terdapat banyak lagi laporan polis terhadap individu lain yang dikatakan membuat kenyataan berunsur hasutan yang masih tidak disiasat sehingga kini.

“Pertuduhan ini patut tidak dibawa langsung ke mahkamah kerana ia bersifat politik memandangkan ada banyak lagi laporan terhadap kenyataan berbaur hasutan lain (yang tidak diberi perhatian).

Menurutnya lagi, beliau juga kesal kerana jaminan ke atas Shuhaimi pada awalnya ditetapkan pendakwaraya pada RM20,000 sedangkan peruntukan akta menetapkan RM5,000 sahaja.

“Jaminan pada awalnya juga ditetapkan pada RM20,000 sedangkan peruntukan akta hanyalah RM5,000,” kata Amir Hamzah.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di bawah Akta Hasutan yang dikenakan ke atasnya. Mahkamah menetapkan kes tersebut akan didengar semula 28 Mac depan.Pengumuman dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Latifa Taha.

Turut mengiringi Shuhaimi di mahkamah pagi ini adalah pimpinan KEADILAN yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Azmin Ali; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; serta Pengarah Biro Guaman, Latheefa Koya.

Selain itu ratusan penyokong Shuhaimi berkumpul di mahkamah di sini seawal jam 8 pagi lagi memberi sokongan moral kepada Adun berkenaan.

Shuhaimi di hadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 berhubung satu artikel yang ditulis di dalam blognya yang mengkritik cara pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jika sabit kesalahan Shuhaimi berhadapan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

No comments

Powered by Blogger.