Penduduk Merlimau 'disantuni' dengan projek, projek dan projek

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh, dan berkata, 'sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri'." (Fussilat: 33)
***

KETIKA berkunjung ke Merlimau baru-baru ini, saya berkesempatan merehatkan diri di anjung rumah Penghulu Mad Natar/Abdul Ghani yang terletak di Kampung Permatang Serai, Merlimau Tengah.

Sambil berbual-bual dengan waris dan penjaga rumah itu, Rizal Mad Rahim, 35, mata saya mengawasi kerja-kerja melebarkan jalan kampung di sebarang jalan dari rumah tradisional berkenaan. Sebuah traktor sedang menimbun tanah manakala beberapa pekerja sibuk memeriksa longkang di sisi jalan.

Seorang wanita tua yang layak dipanggil nenek turun daripada basikal tuanya, kemudian menyatakan sesuatu kepada pemandu traktor. Saya difahamkan dia meminta lelaki itu menimbus lubang di persimpangan jalan itu bagi mengelakkan kereta orang kampung (saya difahamkan wanita itu ada anak yang memiliki kereta) tercebur dalam longkang.

Demikianlah orang Merlimau kini mewah dengan projek rakyat yang mencurah-curah di kawasan mereka. Al-maklumkan pilihan raya kecil akan diadakan di Dun ini pada 6 Mac nanti.

Penamaan calon adalah pada 26 Februari – masanya ada lebih kurang dua minggu lagi, sebab itulah projek-projek kilat ini perlu disegerakan sebelum pemimpin dan penyokong pihak bertanding menyerbu ke kawasan selatan Melaka ini yang mempunyai lebih 10,500 pengundi – 65 peratus daripada mereka Melayu, 21 peratus Cina, 14 peratus India dan bakinya bangsa-bangsa lain.

Selepas puas memerhatikan kerja-kerja membesarkan jalan di depan Rumah Penghulu Mad Nattar itu, saya pun singgah di depan Masjid Al-Rahim. Pekerja kelihatan bertungkus-lumus membaiki itu dan ini di kawasan masjid. Antara yang dibaiki ada tandas dan tempat mengambil wuduk. Itulah apabila ada pilihan raya, bukan pemilik rumah tersenyum, kaki masjid pun gembira kerana kerosakan di masjid mereka segera dibaiki.

Bercakap mengenai nasib pemilik rumah kampung, bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, saya difahamkan sejumlah RM500,000 diperuntukan bagi membaiki rumah orang miskin melalui Dana 1-Malaysia Development Berhad (1MDD). Ooh, alangkah beruntung orang Merlimau, tak tahulah bila peluang keemasan seperti ini akan muncul lagi.

Demikianlah, apabila pilihan raya muncul, tiba-tiba rakyat disantuni bagai raja. Saya lihat banyak jalan masuk ke rumah orang-orang kampung sudah ditar. Kini jalan orang kampung sudah lebar dan cantik.

Di persimpangan jalan utama Melaka-Muar/Merlimau Tengah, kelihatan sekumpulan buruh berkulit gelap sibuk menurup laluan persendirian yang menghala ke rumah penduduk. Panas matahari tidak mereka hiraukan, mungkin mereka mahu menyiapkan projek dengan kadar segera kerana habuan sudah siap menunggu. Lagi pun tidak lama lagi pemimpin kecil, sederhana dan besar akan berkampung di Merlimau.

Penulis berkesempatan singgah di sebuah warung kopi bagi mendengar perbualan penduduk. Sambil menghirup teh 0 limau, penulis mendengar seorang buruh dalam usia 40-an berkata: “Aaah, sekarang mintaklah apa saja. Mesti dapat punya.”

Seorang lelaki menyampuk: “Kalau nak jalan tar sampai tangga rumah pun boleh dapat. Inilah masa untuk kita desak itu dan ini.”

Demikianlah projek begitu sinonim dengan pilihan raya kecil. Apabila di sesebuah kawasan itu berlaku kematian ahli Parlimen atau Adunnya, maka banyaklah pojek pembangunan akan dicurahkan di sana.

Namun satu hal yang sangat mengusarkan apabila ditanya kepada menteri-menteri berhubung projek-projek berkenaan, mereka berkata ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Mereka cekap untuk menyatakan projek itu sudah lama dirancang, tinggal lagi belum dilaksanakan. Dan secara kebetulan, ia dilaksanakan ketika pilihan raya akan diadakan.

Tinjauan penulis di Dun Merlimau, memperlihatkan Umno-BN sudah meningkatkan kempennya termasuk mendirikan bilik gerakan pilihan rayanya seperti di Permatang Bukit yang terletak di depan Merlimau Inn iaitu satu-satunya hotel di pekan ini yang boleh dimasuki melalui jalan lama Melaka-Muar, jalan persisir pantai, jalan Batu Gajah, Lebuh AMJ dan juga Lebuh Raya Utara Selatan melalui susur keluar di Lipat Kajang seterusnya menggunakan jalan lama Jasin-Merlimau.

Dua bendera gergasi BN juga sudah dipasang di depan ‘Kedai Asam Pedas Oren D’ Corner’ yang terletak berhampiran Politeknik Merlimau di jalan Jasin-Merlimau. Di kawasan ini juga sudah diadakan bilik gerakan pilihan raya Barisan Nasional bagi Dun Merlimau. Selain itu banyak kain rentang parti-parti seperti IPF menyatakan sokongan kepada PM Najib Razak dan KM Mohd Ali Rustam.

Diberitakan pemimpin-pemimpin BN termasuk TPM Muhyiddin Yassin akan menjadikan Politeknik Merlimau sebagai ‘markas’ perjumpaan ahli dan penyokong mereka sedangkan sejak dulu, kini dan selamanya mereka kerap mengungkapkan: “jangan politikkan sekolah dan masjid.” Itulah pemimpin Umno-BN yang cakap tidak serupa bikin, jadi relalah rakyat menyerah diri kepada mereka?

http://lanh14.blogspot.com/2011/02/penduduk-merlimau-disantuni-dengan.html

No comments

Powered by Blogger.