Tidak Wajar KP Selangor Tolak Polis Bantuan

SHAH ALAM 15 FEB : Kegiatan penjenayah yang canggih menjadi faktor utama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memohon pasukan polis bantuan bagi menjamin keselamatan rakyat.

Hasrat ini bagaimanapun tidak difahami oleh Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang menolak hasrat baik Menteri Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie, perkara ini adalah tidak wajar kerana jika ia mencukupi, kenapa masih terdapat bantuan anggota dari jabatan-jabatan pertahanan lain seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia atau RELA.

“Selangor merupakan negeri yang maju di Malaysia, kadar peningkatan jenayah cukup canggih, macam-macam jenayah canggih sudah tentu MB membuat permohonan itu adalah berdasarkan faktor-faktor tertentu.

“Kalaulah jumlah anggota polis tu mencukupi kita tidak akan ada RELA, tidak akan ada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan kita tidak akan ada pegawai-pegawai penguatkuasa di jabatan dan agensi kerajaan seperti PBT, jadi maknanya keperluan itu ada,” katanya.

Tambah beliau lagi, polis meletakkan polis bantuan apabila diminta oleh syarikat-syarikat swasta, tapi apabila kerajaan Negeri mengemukakan permohonan ia seolah-olah diketepikan dan menganggap negeri ini tidak mempunyai masalah jenayah.

“Bagaimana permintaan polis bantuan seperti dari GLC, polis bantuan di lebuhraya, bank, kenapa itu dilayan?” katanya.

Beliau turut menyindir polis yang mengambil sikap pilih bulu dalam memberikan bantuan kepada kerajaan Pakatan Rakyat

“Janganlah kerana kerajaan Negeri Selangor yang minta tak dibenarkan sebab negeri Selangor di bawah Pakatan, cuba ambil pendekatan atau pendirian berfikir secara matang dan positif,”katanya.

Semalam Datuk Tun Hisan, membuat kenyataan bahawa tidak perlu meletakkan polis bantuan di negeri Selangor atas sebab tugas polis bantuan hanyalah di kawasan persendirian sahaja.

Beliau turut mengulas program Kepolisan Masyarakat dan Rakan Corp adalah sudah memadai bagi mengurangkan kadar jenayah.

No comments

Powered by Blogger.