UMNO ketandusan penceramah hebat, sering lakukan kesilapan

Dalam usahanya untuk memenangi semula sokongan rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan, Barisan Nasional atau BN, terutamanya UMNO, mula mengadakan ceramah dan taklimat politik atau yang mereka lebih suka menyebutnya sebagai 'road show'.

Begitu juga dengan Pakatan Rakyat atau PR yang menurunkan barisan peneraju-peneraju PAS, DAP dan PKR untuk berceramah mengenai kedudukan semasa. Kedua-dua pihak berbuat demikian dengan alasan untuk memberi 'penerangan sebenar' mengenai apa yang sedang berlaku dalam kancah politik tanah air.

Dua hari lepas, Pemuda UMNO mengadakan ceramah di Bukit Gadong, Sungai Ara, Pulau Pinang. Ceramah tersebut diadakan di bawah tajuk 'Ayat-ayat Cinta Pakatan Rakyat' dan penceramah utamanya ialah Lokman Nor Adam.

Lokman ialah mantan setiausaha Angkatan Muda Keadilan yang melompat parti ke UMNO. Dia kemudian diserap ke dalam jabatan ehwal khas dan dilantik sebagai ketua untuk melatih penceramah-penceramah UMNO.

Atas pelantikannya itu, kita boleh kata yang Lokman adalah seorang yang hebat sehingga UMNO mendapati dia cukup layak untuk diletakkan dalam bahagian khas dan diberi amanah melatih bakal-bakal penceramah parti. Jika begitu, amat rugilah PKR.

Sejauh mana kehebatan Lokman selaku penceramah boleh dinilai daripada apa yang dibangkitkannya semasa 'berpidato' di Bukit Gadong.

Antara lain, Lokman membangkitkan perkara yang begitu remeh, iaitu gaya hidup presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kepada Lokman, soal peribadi Wan Azizah lebih penting daripada soal kehidupan hari-hari rakyat, soal ekonomi, soal kesihatan dan soal kebajikan.

Lokman 'mendedahkan' kepada kira-kira 80 orang yang hadir pada majlis ceramah itu yang hampir separuh daripada mereka adalah ahli parti-parti komponen BN dari luar kawasan Bukit Gadong, bahawa semasa Anwar Ibrahim menjadi Timbalan PM, Wan Azizah membelanjakan sehingga RM8,000 untuk sepasang pakaian. Dalam setahun Wan Azizah menempah 20 pasang pakaian.

Kepada Lokman, pendedahannya itu semestinya hebat dan boleh menumbangkan pentadbiran 'pembangkang' di Pulau Pinang berbanding dengan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang, tak kira sama ada Melayu, Cina ataupun India.

Saya tertanya-tanya adakah ini yang seharusnya dibangkitkan dalam ceramah-ceramah UMNO ataupun BN untuk memenangi hati dan sokongan rakyat? Tentu tidak!

Apakah Lokman tidak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu bahawa pihak 'lawan' boleh dengan mudah menangkis serangan peribadi itu dengan menghumbankan balik ke gelanggang BN atau UMNO soal yang sama?

Saya pernah berkhidmat di JPM sebagai salah seorang pegawai menteri dan saya tahu bahawa semua isteri menteri, dari PM hinggalah ke timbalan menteri, mengamalkan gaya hidup yang serupa seperti Wan Azizah, merekapun menempah pakaian mahal dan berjenama. Ia tidak menjadi persoalan atau satu kesalahan. Oleh itu, kenapa ia harus dibangkitkan dalam ceramah sedangkan ia adalah perkara biasa di kalangan isteri orang-orang kenamaan termasuk menteri?

Banyak pihak melihat tindakan Lokman membangkitkan soal gaya hidup Wan Azizah sebagai 'serangan peribadi' dan saya difahamkan bahawa Wan Azizah telah merujuk perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya, jika perlu.

Lokman harus sedar bahawa pihak lain boleh membangkitkan banyak persoalan berkaitan isteri PM atau isteri TPM dan isteri para menteri lain sama seperti yang dibangkitkan olehnya. Umpamanya, berapa harga kalung mutiara yang sering dipakai oleh isteri PM? Berapa harga pakaian yang ditempahnya untuk ke majlis-majlis di dalam dan luar negeri? dan banyak lagi soalan berkaitan gaya hidup.

Saya tidak tahu sama ada itulah strategi yang diguna pakai oleh UMNO dan oleh Lokman sendiri selaku 'ketua pengajar atau pelatih' bakal penceramah parti untuk melemahkan lawan dan mendapat sokongan rakyat. jika benar, maka ia adalah satu kesilapan besar.

Jika UMNO mahupun BN ingin mendapat semula sokongan rakyat terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh PR, ubahlah strategi dan pendekatan. Carilah isu yang benar-benar penting yang memerlukan pembelaan, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh Lokman.

Masalah besar yang dihadapi UMNO, terutamanya, ialah penceramah-penceramah yang handal dan hebat yang mampu membuatkan rakyat berfikir dan akhirnya kembali menyokong mereka. Bukan penceramah yang hanya pandai bermain kata-kata mempersenda pihak lawan, memburuk-burukkan lawan dan mengungkit-ungkit hal-ehwal peribadi pihak lain. Itu bukan caranya untuk mendapat sokongan rakyat.

UMNO perlu mencari pemidato-pemidato hebat yang dapat memukau khalayak dengan ucapan-ucapan berfakta, bersemangat dan yang mampu menyemai kesedaran dan keinsafan berkaitan isu-isu semasa dan kehidupan rakyat. UMNO perlu mencari pengganti almarhum Syed Jaafar Albar dan almarhum Ustaz Othman Abdullah, kerana pada hakikatnya, UMNO ketandusan penceramah hebat.

http://kudaranggi.blogspot.com/2011/02/umno-ketandusan-penceramah-hebat-sering.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+KudaRanggi+(Kuda+Ranggi)

2 comments

Hamdan Rukun said...

PEMIDATO HEBAT?

ISLAM ADA KAEDAHNYA. TAK PAYAH HEBATLAH KALAU HEBAT TU BERMAKSUD

1. MELAMPAU
2. SENSASI
3. MENCARUT
4. MEMFITNAH
5. MENGUMPAT

BERPIDATOLAH KERANA ALLAH

tungkaran hati.blogspot said...

kagum dengan saudara Mahfuz dan Mat Sabu....!

Powered by Blogger.