Spekulasi rombakan Kabinet cetus kekalutan

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Spekulasi liar oleh para pemerhati politik mengenai rombakan Kabinet yang tersebar dalam Twitter dan blog mereka hari ini telah mencetuskan kekalutan di pihak media untuk mengesahkan kesahihan berita itu.

Bernama telah dihujani dengan pertanyaan selepas khabar angin itu tersebar di beberapa Twitter dan menerusi SMS.

Satu portal berita malahan menyatakan dua timbalan menteri akan dinaikkan pangkat sebagai menteri manakala seorang ketua parti politik akan turut dilantik sebagai menteri. Ia juga menyatakan satu kenyataan dijangka dikeluarkan.

Seorang kru berita TV malahan telah pergi ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk merakamkan pengumuman yang kononnya bakal dibuat itu.

Seorang pembantu khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa dihubungi pada kira-kira 6 petang hari ini, berkata Perdana Menteri tidak memberikan sebarang bayangan mengenai rombakan Kabinet selepas ditemu bual oleh sebuah organisasi berita Turki lewat tengah hari tadi.

Seorang Menteri Kabinet dari MCA, semasa dihubungi berkata perkara itu langsung tidak disebut dalam mesyuarat Kabinet hari ini. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.