PAS: Putrajaya boleh haram Bersih tapi bukan kemarahan rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Julai — PAS mengingatkan Menteri Dalam Negeri mereka boleh mengarah polis untuk menghalang Himpunan Bersih 2.0 tetapi tindakan mereka tidak akan menghalang rasa tidak puas hati rakyat daripada terus membara sehingga ia boleh mencetus pemberontakan dalaman.

Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Kementerian Dalam Negeri perlu menghayati teguran Khalifah Umar Abdul Aziz kepada seorang gabenornya dalam menangani kebangkitan dan kemarahan rakyat sebelum terlambat.

“Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya ‘bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina’,” kata beliau.

“Wahai Kementerian Dalam Negeri, ambillah iktibar daripada Umar Abdul Aziz sebelum terlambat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS juga mengecam tindakan terdesak Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan Bersih 2.0 meskipun ia terhasil daripada 62 gabungan NGO yang sah dan berdaftar enam hari menjelang Himpunan Bersih Julai 9 ini.

Justeru kata beliau Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menyalahgunakan kuasa dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam hak ssasi manusia, N Surendran.

Menurut Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman, Hishammuddin telah mengarahkan pihaknya untuk mengharamkan Bersih 2.0 atas alasan bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini dan menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan persekutuan sekarang dengan menuntut supaya pilihan raya yang bebas dan adil diadakan.

Putrajaya mendakwa bahawa aktiviti-aktiviti Bersih 2.0 telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri, kata Tuan Ibrahim, pada pandangan PAS adalah semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan Kementerian Dalam Negeri mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.

“Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan badan bukan kerajaan yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini,” kata beliau.

PAS, katanya juga melihat tindakan Kementerian Dalam Negeri ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.

Tuan Ibrahim berkata Hishammuddin sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihan raya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.

“Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara,” tegas Tuan Ibrahim.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.