Surat Cadangan Pusat-Pusat Hiburan Di Seluruh Negeri Kedah Sepanjang Bulan Ramadhan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhooYDZEfX_5X8EFvkHvd4f9mpE11FEG2grINUl9hKPLymktqPQdU7yd1ZcF2OsSn2RVVsyqN_7Rfkc8f9ckntAD9vhE-VVz5N4YxphmKMuibihvux3wd-jCoL_DESsZkiGTi8PlAb5vWnX/s1600/%253D%253Futf-8%253FB%253FQmFuZGFyIEFuYWsgQnVraXQtMjAxMTA3MTQtMDAzMzcuanBn%253F%253D-709401

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi_v_Ib6L94WUnMz4yQHxRUZIqgAzIVHvqOArsCOL827mnBiZKsYTWXa7BEBRGdNlAG-GUXnP82hVAGxfvDkdyNt7WjHju6i1uFrl_4mT3LGHckajKgaO4tCY1lX8Byd7INiLtI6MIYF2dE/s1600/%253D%253Futf-8%253FB%253FQmFuZGFyIEFuYWsgQnVraXQtMjAxMTA3MTQtMDAzMzguanBn%253F%253D-719327




Pusat hiburan: MB Kedah tidak mahu layan tekanan
Oleh G Manimaran
July 16, 2011

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abu Bakar kekal dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan secara sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“Ustaz (Menteri Besar) Azizan tidak akan berundur! Itulah pendirian beliau dalam isu ini dalam nada yang sangat tegas.

“Saya yakin seluruh umat Islam akan berdiri teguh di belakang beliau dalam menangani isu ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” kata Setiausaha Politik kepada Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan sehari sebelum Azizan diminta PAS pusat memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja parti itu.

Laporan The Malaysian Insider pagi ini memetik Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, PAS mahu Azizan memberi penjelasan kepada jawatankuasa kerja pusat parti itu esok rasional larangan penuh ke atas operasi pusat-pusat hiburan semasa Ramadan yang bermula bulan depan.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Azizan tidak dapat hadir sebaliknya akan menghantar wakil ke mesyuarat esok.

Azizan juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Kelmarin, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat minggu depan.

Keputusan itu dibantah oleh MCA dan Gerakan.

Baru-baru ini Azizan berkata enakmen itu bukan sesuatu yang baru, sebaliknya telah diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataannya hari ini, Sanusi yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah menambah, Kelantan yang diperintah oleh PAS juga telah melaksanakan polisi seumpama itu sejak 20 tahun lalu, dan masih berlanjutan hingga ke hari ini.

“Mengapa MCA Kelantan tidak melompat seperti di Kedah. Kenapa MCA tidak meghasut masyarakat Siam yang ramai di negeri itu untuk memberontak?

“Jelaslah bantahan dan tentangan ini bukan berasaskan hak asasi, ketidakadilan kerajaan atau tuntutan supaya menghormati budaya masyarakat bukan Islam,” kata beliau sambil menambah, bantahan seumpama itu berteraskan kepentingan politik MCA dan BN.

“Cuma di Kedah, racunnya juga meresap ke dalam DAP,” kata Sanusi.

Katanya, larangan operasi pusat-pusat hiburan iaitu karaoke, pub, disko dan persembahan terbuka sepanjang Ramadan tiba-tiba menjadi isu besar.

Menurut Sanusi, akhbar-akhbar berbahasa Cina memainkan isu ini sejak lima hingga enam hari lalu apabila pengusaha pusat hiburan tidak diberi lesen operasi pada bulan Ramadan, khususnya di Pejabat Daerah Kota Setar.

Oleh itu katanya, apa yang dibangkitkan bukan isu baru kerana polisi berkaitan sudah wujud sejak 14 tahun lalu, cuma penguatkuasaannya tidak menyeluruh.

Sejak 1997, pada bulan Ramadan Kedah tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan, termasuk pada malam Jumaat sepanjang tahun.

“Malah lama sebelum itu, rakyat Kedah sudah akur dengan peraturan itu.

“Semasa industri hiburan belum berkembang pesat, hanya ada panggung wayang, persembahan nyanyian di rumah-rumah kenduri, ekspo dan pesta ria, joget, mak yong dan wayang kulit, masyarakat sangat menghormati bulan Ramadan dengan memberhentikan aktiviti seumpama itu,” katanya.

Kata Sanusi, apabila industri hiburan berkembang dan mencetuskan kesan sampingan yang membimbangkan, diadakan pertemuan pegawai-pegawai daerah yang

bertanggungjawab memberi kelulusan lesen hiburan bagi mengetasi kesan industri itu yang kian membentuk budaya baru masyarakat.

“Persetujuan dicapai pada tahun 1997 untuk memberhentikan pemberian lesen pada bulan Ramadan, bulan suci umat Islam. Namun, penguatkuasaannya tidak menyeluruh di semua daerah,” katanya.

Sanusi menjelaskan, sejak kebelakangan ini budaya berhibur terutama di kalangan muda-mudi diterima, umum sebagai antara penyumbang berbagai-bagai gejala.

“Maka pada tahun ini, perbincangan diadakan semula untuk mengkaji langkah-langkah membendung kegiatan ini, terutama di bulan Ramadan.

“Maka, satu kertas cadangan diangkat untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan telah diluluskan,” tambah Sanusi.

Larangan operasi pusat hiburan sepanjang Ramadan meliputi pusat karaoke, disko, pub dan persembahan terbuka yang boleh diakses dengan

mudah oleh masyarakat awam seperti di restoran dan ‘coffe-house’ manakala pusat rekreasi seperti snuker, biliard, kafe siber dan boling dibenarkan.

Persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam dibenarkan dengan pertimbangan pegawai daerah, katanya.

Kata Sanusi, MCA paling lantang menentang melalui kenyataan di media dan menghasut masyarakat bukan Islam dengan dakwaan bahawa kerajaan sedang

menghalang hak asasi masyarakat bukan Islam.

“Peluru ditabur dengan menuduh DAP bersekongkol menafikan hak bukan Islam di Kedah. Wakil rakyat DAP juga kepanasan dan mula bersuara.

“Ada wakil rakyat DAP dari negeri lain yang meminta seorang pimpinan PAS menemui YAB Ustaz Azizan untuk menarik balik larangan ini,” katanya sambil menambah, ia sebagai langkah ekstrem dan tidak selari dengan semangat Pakatan Rakyat.

Menurut Sanusi, isu terbaru ini hampir sama dengan reaksi ketika kerajaan merobohkan pusat sembelih khinzir tanpa lesen di Kampung Berjaya dua tahun lalu.

“Saya percaya hasutan ini akan terus berkembang dengan tuduhan yang lebih berat kepada kerajaan, dan akan mendapat sokongan semua parti dalam Barisan Nasional.

“Sikap diam tanpa menyokong langkah kerajaan ini patut dikira sebagai menyebelahi penghasut,” katanya.

Mengenai rasional kepada penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, Sanusi berkata, “hakikat yang harus diterima ialah majoriti pengunjung pusat-pusat hiburan adalah orang Melayu Islam.”

“Kalau MCA dan parti-parti yang mewakili masyarakat bukan Islam mendakwa kerajaan harus menghormati hak mereka, mereka juga sewajarnya menghormati hak umat Islam, terutama menghormati kesucian bulan Ramadan yang sangat istimewa bagi umat Islam.”

Katanya, Kedah didiami oleh 2.1 juta orang iaitu 1.8 juta beragama Islam manakala 300,000 adalah bukan Islam.

“(Jadi), bagaimana kepentingan 1.8 juta orang lagi? Parti politik tidak sepatutnya hanya menjadi jurucakap tauke-tauke, tetapi harus juga bertanggungjawab kepada keseluruhan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Jika kita diminta menghormati budaya dan adat masyarakat bukan Islam untuk menjadi sebuah kerajaan yang baik dan adil, mereka juga harus menerima sikap itu kepada umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu soal beliau, “adakah menyertai Pakatan Rakyat bermaksud umat dan pemimpin Islam mesti sentiasa mengalah demi menjaga hati dan hak masyarakat bukan Islam?”

“Bukankah satu deklarasi telah dipersetujui dan ditandatangani bahawa Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini dan kebebasan mengamalkan tuntutan agama dijunjung oleh semua.

“Mengawal kegiatan yang membawa keruntuhan kehidupan beragama di kalangan umat Islam adalah intipati ajaran Islam sebagai agama rasmi dan satu kewajipan yang dituntut oleh Islam, terutama kepada pemerintah.

“Ini wajib difahami oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat dan dalam BN sekalipun,” katanya lagi.



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.