BAPA KAFIR: PEMUDA PAS KELANTAN MENGUTUK RAHIM NOOR

http://profile.ak.fbcdn.net/hprofile-ak-snc4/370506_100000521511371_1594615350_n.jpg

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor seperti yang tersiar di dalam akhbar News Straits Times halaman enam hari ini, 8 Mei 2012. Beliau di dalam kenyataan tersebut menyifatkan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebagai God of Kafir (bapa kafir).

2. DPPNK menyifatkan bahawa Tan Sri Rahim sudah hilang kewarasan dan pertimbangan akal sehingga mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa. Sindrom hilang akal dan kewarasan ini bukan merupakan satu perkara baru bagi beliau yang pernah disabitkan kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Anwar ditahan pada tahun 1998. Jika beliau pada masa itu yang masih memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan berpakaian seragam pun boleh hilang pertimbangan sedemikian rupa, maka tidak menjadi satu perkara yang pelik sekiranya kehilangan pertimbangan itu berulang kembali hari ini.

3. Rahim di dalam kenyataannya menyifatkan bahawa Nik Aziz ialah bapa kafir kerana mewajibkan rakyat untuk turun ke himpunan BERSIH 3.0. Di dalam hal ini barangkali Rahim tidak dapat membezakan isitilah wajib yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie yang mempunyai nilai di dalam agama. Wajib yang disebut oleh Tuan Guru bukanlah bererti bahawa jika tidak dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada rakyat untuk beramai-ramai turun bagi menuntut pilihanraya yang adil.

4. Istilah wajib itu sendiri digunakan di dalam perkhidmatan sepeerti polis yang diwajibkan untuk berpakaian dengan pakaian tertentu. Begitu juga dengan para guru contohnya yang diWAJIBkan hadir menyambut kedatangan Perdana Menteri, adakah itu bermakna wajib dari sudut nilaian syarak?

5. DPPNK menyifatkan bahawa Rahim mengulangi lagu lama apabila mengungkit istilah kafir mengkafir yang didakwa dikeluarkan oleh Tuan Guru padahal tidak pernah Tuan Guru menyebut bahawa penyokong UMNO kafir sebagaimana dakwaan Rahim.

6. Justeru, selaras dengan pendirian PAS Kelantan, DPPNK menggesa agar Rahim menarik balik kenyataannya dalam masa 24 jam sebelum tindakan yang lebih lanjut diambil termasuk laporan polis dan tindakan mahkamah. Hakikatnya, kenyataan Rahim ini tidak lebih melainkan hanyalah bayangan kepada ketakutan UMNO dan Barisan Nasional yang sedang berada di ambang kejatuhan. Justeru, tindakan terakhir mereka ialah memperalatkan agama untuk tujuan politik termasuklah menyifatkan Tuan Guru Nik Aziz sebagai bapa kafir.

Yang benar,

ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 8 Mei 2012

No comments

Powered by Blogger.