Senaman punggung langgar adab, budaya Melayu - Teras
(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 16 Mei: Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan 'senaman punggung' oleh bekas tentera di depan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga sebagai tindakan bodoh dan gila.
Katanya, tindakan itu tidak patut diterima oleh mana-mana pihak kerana ia tidak menunjukkan tata susila dan budaya Melayu yang sebenar.
"Saya cukup kesal dengan kelakuan mereka yang langsung tidak matang dan beradap.
"Apatah lagi ia adalah satu provokasi dan boleh menimbulkan ketegangan (di kalangan masyarakat)," katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau juga kesal sikap lepas tangan pihak berwajib kerana tidak menghalang kelakuan di kediaman peribadi itu.
"(Pihak berkuasa) seolah merestui, (ia) patut dihalang kerana mengganggu kediaman dan privasi (Ambiga)," katanya.
Semalam, dilaporkan 15 anggota tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berdemonstrasi di depan kediaman Ambiga kerana membantah peranan beliau dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan apa yang dikatakan sebagai 'gerakan seks bebas'.
Selain membawa sepanduk mengutuk Ambiga dan Bersih 3.0, mereka turut menarik perhatian dengan membongkok dan menggoyangkan punggung ke arah kediaman peguam itu.
Demonstrasi ini dilihat sebagai susulan 'protes Burger' oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) 10 Mei lalu yang membuka gerai burger di hadapan rumah beliau.
Mohd Azmi sehubungan itu, menyeru semua pihak, terutama ahli agama dan bekas tentera untuk tegas mengecam aksi tersebut.
"Mereka telah menghina Islam, (kerana) mencetuskan fitnah dan salah faham terutamanya kepada masyarakat bukan Islam.
"Ia juga memberi gambaran buruk kepada bekas tentera, padahal hanya dilakukan oleh sebilangan kecil sahaja," kata beliau lagi.
No comments
Post a Comment