Bersih gerak kempen Jom Pantau PRU 13
(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 16 Mei: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan menggerakkan dua kempen penting iaitu keluar mengundi dan jom pantau bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adil dan bersih.
Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said berkata, selepas Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) gagal mereformasi pilihan raya walaupun ratusan ribu rakyat menuntut pilihan raya bersih pada Himpunan Bersih 3.0, rakyat perlu menjadikan undi mereka sebagai benteng melawan penipuan.
"SPR tidak ada sedetik niat untuk memperbaiki pilihan raya, jauh sekali untuk memastikan perkara paling fundamental iaitu membersihkan senarai daftar pemilih.
"Jelas SPR tidak boleh dipercayai untuk menjalankan pilihan raya umum dengan adil dan bersih.
Justeru, kami menyeru semua rakyat Malaysia yang layak mengundi, anak semua bangsa keluar mengundi bagi melawan penipuan ini.
"Kita keluar beramai-ramai dengan jumlah yang belum pernah terjadi di Malaysia!" gesa Sasterawan Negara yang lebih dikenali Pak Samad pada sidang media hari ini.
Turut hadir, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin dan aktivis Hishamuddin Rais.
Pak Samad berkata, rakyat juga diseru memantau situasi pilihan raya untuk memastikan tidak berlaku penipuan.
"Kita memerhati dengan mata yang tajam pada masa berkempen dan pada hari membuang undi.
Laporkan, hebohkan dan lawan penipuan ini!" gesa beliau lagi.
Menurut beliau, Bersih 2.0 akan bekerjasama dengan Tindak Malaysia dan Jom Pantau bagi melatih sukarelawan yang berperanan sebagai pemantau, pegawai pilihan raya, pengira undi dan ejen pengundi pos.
Tindak Malaysia adalah NGO yang terlibat melatih sukarelawan pilihan raya dan Ejen Pengundi, Pengira Undi dan Ejen Barung (Pacaba). Mereka juga akan memastikan pilihan raya tidak terlibat dengan penipuan.
Manakala Jom Pantau pula diketuai Komas yang bekerjasama dengan Malaysian Observes Network (MEO-Net), Southeast Asian Center for e-Media (SEACAM) dan National Institute for Democracy Electoral Iintegrity (NIEI).
Rakyat boleh mengambil bahagian dalam pemantau pilihan raya dengan cara membuat laporan kepada umum di www.pru13.info.
No comments
Post a Comment