Orang Melayu tinggalkan Pulau Pinang?


GEORGE TOWN, 22 MEI: Pertambahan hampir 35,000 pengundi Melayu dari tahun 2008 sehingga 2011 menyangkal kajian PReCISE yang mendakwa ramai orang Melayu berhijrah meninggalkan Pulau Pinang.

PReCISE merupakan sebuah unit yang ditubuhkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Malaysia cawangan Pulau Pinang (DPMMPP).

Menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, bilangan pengundi Melayu di Pulau Pinang telah bertambah daripada 247,131 orang pada tahun 2008 kepada 282,062 pada tahun 2011, iaitu pertambahan sebanyak 34,931 orang.

Katanya, pertambahan itu adalah hampir dua kali ganda daripada angka 18,154 orang Melayu didakwa oleh PReCISE telah didakwa meninggalkan Pulau Pinang.

“Jika diteliti lagi, kita mendapati bahawa bilangan pengundi Melayu juga telah meningkat dengan banyak di kawasan-kawasan pulau seperti Balik Pulau dan Bayan Baru, iaitu peningkatan sebanyak 5,120 dan 4,093 orang masing-masing.

“Ini bermakna bahawa masyarakat Melayu masih lagi komited untuk memperkukuhkan suara dan penyertaan mereka dalam pembangunan sosio-politik negeri Pulau Pinang.” ujarnya lagi.

Laporan itu antara lain ia menyatakan sebab orang Melayu Pulau Pinang berhijrah ke negeri lain di antara adalah akibat tidak mampu menampung kos sara hidup yang terlalu tinggi di negeri tersebut.

Menurut Zairil lagi, kesahihan dakwaan tersebut amat diragui kerana ia bercanggah dengan perangkaan dalam daftar pengundi Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga 2011, yang jelas membuktikan bahawa bilangan pengundi Melayu di Pulau Pinang telah bertambah dengan begitu banyak sekali.

“Bagaimanakah begitu ramai orang Melayu telah berhijrah keluar sedangkan bilangan pengundi Melayu telah bertambah dengan begitu banyak, malah dua kali ganda angka yang didakwa oleh kajian tersebut?

“Saya tidak tahu apa niat sebenar Mohammad Fairus, tetapi adalah jelas bahawa nada yang digunakannya berunsur perkauman.” katanya lagi.

Zairi turut membidas sekiranya logik Fairus yang mengaitkan penghijrahan orang dengan penindasan kaum.

“Adakah ianya bermaksud bahawa jika terdapat pengurangan atau penghijrahan kaum bukan Melayu di negeri-negeri lain, maka mereka telah dipinggirkan oleh kerajaan negeri masing-masing?”

Beliau menyifatkan dakwaan Mohammad Fairus tersebut sekadar mengguna pakai logik yang tidak berasas untuk memainkan sentimen perkauman.

“Pendirian yang berbaur perkauman ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan hanya mendedahkan belangnya sebagai seorang hipokrit kerana menyerang kerajaan yang pernah disertainya, setelah dia sendiri gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan ketua menteri dengan baik.

“Umum mengetahui bahawa semua dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah dasar-dasar yang bersifat adil kepada semua tanpa mengira warna kulit atau agama,” tambah beliau.

Katanya, pelbagai rancangan dan program telah dilaksanakan untuk membantu warga Pulau Pinang untuk menampung kos kehidupan termasuk bantuan-bantuan kebajikan dan tabung perumahan mampu milik berjumlah RM500 juta yang akan digunakan untuk menyediakan perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.