Kembalikan tanah sekolah atau kami mogok lapar tanpa henti - NGO

May 25 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 25 Mei: Sekumpulan masyarakat India akan mengadakan mogok lapar bermula esok bagi mendesak MIC mengembalikan semula tiga ekar tanah milik Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Effingham di Petaling Jaya yang dirampas sekutu Umno itu sejak 1999.

Kumpulan yang menamakan diri mereka Return Effingham Land Action Team (Reflax) menegaskan, mogok lapar itu hanya dihentikan jika MIC mengembalikan semula tanah itu kepada SRJKT.

"Kami akan memulakan mogok lapar seawal 8.00 pagi Sabtu ini dan ia akan berterusan sehinggalah tanah yang diperuntukkan kepada SRJKT Effingham dikembalikan.

"Mogok diadakan di Water Fountain, Brickfields dan sehingga kini 10 aktivis sudahpun mengesahkan penyertaan" kata Pengerusi Reflax, Manivanan Gowin dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.

Turut serta, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Fuziah Salleh; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa, Senator S Ramakrishnan, pimpinan parti dan lebih 30 aktivis masyarakat India.

Manivanan berkata, mogok lapar terpaksa dibuat ekoran pelbagai usaha NGO itu sebelum ini termasuk menemui Presiden MIC, Datuk G Palanivel pada 22 Mei lalu ditolak.

"Malah Setiausaha Politik Datuk G Palanivel iaitu Dr Vijay yang diarah menemui kami mengugut wakil Reflax, N Palanivelan dengan mengatakan akan membawa keranda jika sesiapa meninggal dunia hasil daripada mogok lapar ini.

"Beliau juga cuba menakutkan kami mengenai insiden kecederaan depan Pejabat Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini dan mengingatkan kami agar jaga-jaga kerana kami ada anak dan isteri," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penyokong MIC menyerang dan mencederakan seorang penyokong KEADILAN sehingga berlumuran darah pada himpunan di Putrajaya bertujuan mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan permasalahan kad pengenalan masyarakat India di negara ini.

Manivanan turut kesal dengan keengganan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi permit kepada himpunan itu sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Korporat agensi itu, Dr Ismain Stapa 21 Mei lalu.

"Penolakan permit ini jelas penghinaan kepada pelajar sekolah kerana mogok lapar ini dibuat bagi memperjuangkan pendidikan masyarakat India di negara ini.

"Walaupun tanpa permit, himpunan ini tetap diteruskan dan perkara ini juga sudah dimaklum kepada Balai Polis Travers agar menjaga keselamatan rakyat yang menyertai dan menyokong mogok lapar ini," tegasnya.

Ekoran itu, wakil Reflax, N Palanivelan membuat laporan di balai polis Travers, Brickfields semalam selain mendesak Vijay memohon maaf secara terbuka dalam masa 24 jam.

Sesiapa yang ingin menyertai mogok lapar esok, boleh menghubungi N Palanivelan di talian 016 339 8165.

No comments

Powered by Blogger.