Penang kesal niat baik disalah tafsir


GEORGE TOWN, 16 MEI: Wadah pemikir Penang Institute kesal dengan kenyataan Senator Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang melihat tawaran untuk melantik beliau sebagai Felo Kanan di institut tersebut sebagai satu “penghinaan” terhadap dirinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari, berkata beliau bersama pimpinan wadah pemikir itu kecewa kerana niat yang ikhlas telah disalahtafsirkan untuk dijadikan alasan oleh Tunku Aziz untuk meninggalkan parti DAP serta mengutuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau merujuk kepada wawancara Tunku Aziz bersama akhbar milik MCA, The Star, hari ini yang melaporkan bahawa senator lantikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang itu telah menyifatkan tawaran Penang Institute sebagai menghina beliau dan menggambarkan Guan Eng sebagai seorang yang “biadap”.

Isnin lalu, dalam wawacancara TV milik media kawalan Barisan Nasional, Tunku Aziz mengumumkan keluar DAP selepas mengkritik pimpi2nan parti serta menuduh perhimpunan Bersih 3.0 sebagai melanggar undang-undang.

Beliau turut mengkritik Pakatan Rakyat kerana dikatakan tidak memberi peluang kepada kerajaan BN yang disifatkannya sebagai berada di landasan yang betul serta sentiasa mendengar pandangan rakyat.

Zairil menjelaskan tawaran Penang Institute bukan sebagai ganti atau pampasan kepada Tunku Aziz yang tidak mahu dilantik semula sebagai Senator mulai 30 Mei ini.

“Tawaran kami kepada Tunku adalah ikhlas atas dasar ingin mendapatkan kepakaran beliau di Pulau Pinang selepas tidak mahu menyambung tugasnya sebagai Senator,” katanya.

Beliau menjelaskan, atas rasa hormat kepada kedudukan Tunku Aziz sebagai seorang tokoh, pihak Penang Institute telah meminta Guan Eng selaku Pengerusi Penang Institute, untuk menyampaikan tawaran wadah pemikir itu kepada Tunku Aziz.

“Dalam perbualan telefon di antara Ketua Menteri dan Tunku Aziz pada Jumaat lalu, mereka sama sekali tidak berbincang tentang syarat-syarat perlantikan sebagai Felo Kanan atau butir-butir kewangan .

“Butir-butir itu hanya disampaikan kepada Tunku apabila saya menghubungi beliau pada pagi Isnin lalu, sebagai susulan kepada perbualan telefon di antara Tunku dan Ketua Menteri,” tambah Zairil.

Beliau menjelaskan lagi, jawatan Felo Kanan tersebut memerlukan penjawatnya untuk menghadiri persidangan di dalam dan luar negara, dan justeru, Penang Institute mempunyai pakej standard untuk semua Felo Kanan – setakat ini tiga orang – termasuk pembiayaan RM50,000 setahun.

Menurutnya, tawaran itu dibuat kepada Tunku Aziz selepas beliau (Zairil) bersama Pengarah Eksekutif Penang Institute Prof Datuk Woo Wing Thye berkongsi pendapat bahawa Tunku adalah seorang tokoh yang sesuai untuk wadah pemikir tersebut, yang dapat membantu meningkatkan nama Pulau Pinang dalam arena ekonomi, dasar dan perancangan di peringkat nasional dan global.

Penang Institute adalah wadah pemikir untuk kerajaan negeri Pulau Pinang yang menjalankan kajian dan program tentang sosio-ekonomi dan isu-isu semasa, serta menerbitkan, antara lain, majalah bulanan Penang Monthly dan penerbitan ilmiah mengenai dasar awam. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.