Sultan Johor murka dengan kejadian di Pulau Rawa


JOHOR BAHARU - Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa murka, namun telahpun memaafkan empat warga asing yang terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal peribadi rombongan diraja Johor di sebuah pusat peranginan di Pulau Rawa pada malam Jumaat minggu lepas.

"Saya marah, sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau tersebut," titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai kejadian pergaduhan di Pulau Rawa minggu lepas yang melibatkan empat pelancong warga asing dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor.

Baginda difahamkan empat pelancong asing yang bekerja di Singapura itu tiba di sebuah pusat peranginan pulau berkenaan kira-kira 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan satu majlis dan menginap di pusat
peranginan bersebelahan.

Ada di antara pelancong terbabit turut bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan sehingga terjadi pergaduhan.

Salah seorang daripada mereka juga dilaporkan telah berenang dan menceroboh bot milik Sultan Johor yang ketika itu sedang berlabuh di jeti sebelum bertindak agresif mencekik krew kapal yang cuba menghalang perbuatan itu.

Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa meminta tolong daripada pengawal Istana dan melihat keadaan itu, warga asing itu telah terjun ke laut dan terpijak batu karang menyebabkan dia cedera, titah baginda.

Dia kemudian dirawat oleh doktor peribadi baginda sendiri.

"Saya dimaklumkan kejadian itu kira-kira 7.30 pagi dan merasa sedih dengan kejadian seumpama itu....(tetapi) saya dah lupakan kisah ni, saya maafkan mereka.

"Saya maafkan mereka, tiada masalah, sila datang kembali sebagai tetamu saya," titah baginda.

Dalam masa yang sama menurut Sultan Johor, beberapa pihak termasuk pemilik pusat peranginan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan baginda menyerahkan kes itu untuk disiasat polis.

"Biar polis menjalankan tugas mereka, saya tak boleh kata apa saya mungkin berat sebelah dan memihak kepada satu pihak. Jadi biar polis siasat apa yang terjadi," titah baginda.

Baginda juga menyifatkan kes itu diperbesar-besarkan oleh akhbar Singapura dengan mengeluarkan laporan yang tidak tepat.

"Jangan besar-besarkan cerita yang kecil, kalau saya nak besar-besarkan, orang tu dah kena tangkap hari itu sebab menceroboh dan memanjat bot saya dan berkasar dengan krew saya," titah baginda.

Dalam masa yang sama baginda mengalu-alukan kehadiran pelancong di pulau-pulau peranginan di negeri ini yang sememangnya terkenal dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.

Namun nasihat baginda kepada pelancong asing ini "berseronoklah, relaks dan jaga kelakuan." - Bernama

No comments

Powered by Blogger.