GAJI MINIMUM BERCANGGAH DENGAN ISLAM

http://www.radioinformasi.com/wp-content/uploads/2011/07/Buruh-gugat-Presiden.jpg

Sempena Hari Pekerja tahun ini, kerajaan telah mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam. Perdana Menteri Malaysia berkata, gaji minimum itu akan meliputi semua pekerja termasuk pekerja asing dalam semua sektor ekonomi, kecuali perkhidmatan domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun. Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan persetujuan kerajaan itu sebagai “hadiah istimewa” kepada golongan pekerja di negara ini sempena sambutan Hari Pekerja. Satu mekanisme akan dibuat supaya pelaksanaan gaji minimum tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja, katanya. Mana-mana majikan yang tidak mematuhi ketetapan ini boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kadar gaji minimum bagi sektor swasta yang diumum kerajaan dapat membela nasib pekerja khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan. Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu jalan terbaik untuk membela nasib mereka pada masa depan. Tuntutan asal para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500 tetapi kerajaan menganggap sekiranya gaji minimum yang ditetapkan melebihi tahap RM900 akan menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing. Sekiranya perkara ini berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.

Dasar Penggajian Dalam Sistem Ekonomi Kapitalis

Umat Islam harus sedar bahawa sistem ekonomi yang diterapkan pada hari ini adalah sistem kapitalisme yang berasal dari Barat. Lebih penting, umat Islam harus sedar bahawa sistem ekonomi kapitalisme ini merupakan sistem kufur yang penuh kezaliman dan bercanggah dengan Islam. Dalam sektor pekerjaan, secara umumnya orang-orang kapitalis memberikan gaji/upah kepada seorang pekerja dengan ‘upah yang patut’ yang dinilai berdasarkan keperluan biaya hidup pada tahap yang paling minimum bagi pekerja tersebut. Mereka akan menaikkan sedikit gaji tersebut apabila beban hidup semakin bertambah, namun kenaikan itu pun masih diukur berdasarkan batas minimum beban keperluan hidup. Sebaliknya gaji akan berkurangan jika beban keperluan hidup adalah lebih rendah. Ringkasnya, gaji/upah seseorang pekerja adalah ditentukan berdasarkan beban hidupnya, tanpa menyandarkannya kepada aspek jasa (manfaat) tenaga yang diberikan oleh seseorang pekerja itu. Orang-orang kapitalis melakukan perkara ini kerana mereka membangunkan transaksi ijarah (kontrak/akad kerja) berdasarkan transaksi jual beli dan hal ini menyebabkan harga barang-barang/ keperluan hidup menjadi penentu gaji seseorang pekerja. Cara seperti ini diamalkan baik di negara-negara kafir mahupun negara-negara umat Islam yang menerapkan sistem kapitalis.

Itu dari satu aspek. Dari aspek yang lain, dalam menentukan kadar gaji, industri(majikan) dituntut untuk memenuhi tuntutan yang sebenarnya langsung tidak terkait dengan pekerjaan seperti hak-hak buruh dalam pendidikan, kesihatan, hari tua sampailah ke tahap penyediaan kemudahan seperti rumah, insurans dan lain-lain, sehingga ‘komponen’ gaji dalam sistem ekonomi kapitalis amat banyak sekali. Hal-hal ini sebenarnya muncul seiring dengan paradigma kapitalis yang menyerahkan masalah kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan hari tua serta yang lainnya kepada pihak individu atau swasta dan bukan menjadi tanggungjawab negara. Dengan penyediaan segala kemudahan dan inisiatif dari majikan ini, majikan kelihatan baik dan sekali gus segala dosa dan kesalahan negara tertutup.

Pengusaha (termasuk kerajaan) dalam sistem Kapitalis, senantiasa berusaha untuk mencari keuntungan sebesar-besarnya tanpa sebenarnya mempedulikan nasib kaum buruh (pekerja). Kerana itulah, antara masalah utama yang menyentuh kaum buruh dalam sistem Kapitalis buatan manusia ini adalah rendahnya atau tidak sesuainya pendapatan (gaji) yang diperoleh berbanding tuntutan untuk memenuhi keperluan hidup. Faktor keperluan hidup yang semakin meningkat, sementara gaji yang diterima relatif tetap, menjadi salah satu pendorong gerakan protes kaum buruh. Di dalam sistem ekonomi Kapitalis, rendahnya gaji buruh merupakan faktor penarik utama kepada pelabur asing. Bagi pemerintah yang kapitalis, demi kepentingan peningkatan pendapatan mereka (bukannya pendapatan rakyat), memelihara keadaan seperti ini sangatlah penting. Dalam apa jua keadaan, apatah lagi ketika terjadi krisis perburuhan, pihak pemerintah ini lebih memilih untuk memihak kepada ‘sang pelabur’ berbanding kepada pekerja walaupun para pekerja ini merupakan rakyatnya sendiri. Dua kepentingan yang berbeza antara buruh dan pengusaha inilah yang sering menjadi pemicu munculnya krisis perburuhan yang tidak pernah berkesudahan dalam sistem Kapitalis.

Dasar Penggajian Dalam Sistem Ekonomi Islam

Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal masalah perburuhan sebagaimana yang wujud dalam sistem Kapitalis. Dalam Islam, masyarakat tidak terpecah kepada dua yakni antara kelas buruh dan kelas pengusaha, antara proletariat dan borjuis, antara buruh tani dan tuan tanah dan seumpamanya. Ini kerana, dalam Islam, mereka yang dikelompokkan dalam kategori buruh/pekerja, kesemuanya disebut sebagai ajir baik pekerja/buruh itu dari kalangan terpelajar dan profesional seperti konsultan, pensyarah, jurutera, doktor, peguam dan sebagainya (yang dibayar gaji) mahu pun ajir (pekerja/buruh) itu adalah orang yang mengeluarkan tenaga seperti buruh kasar, pekerja kilang, tukang kasut, tukang masak dan lain-lain, baik ia bekerja secara perseorangan, dengan pihak swasta mahupun kerajaan. Jadi, semua orang yang bekerja yang menerima upah, apa pun bentuk pekerjaannya, dalam Islam dinamakan ajir, kerana dia telah mengeluarkan atau memberikan manfaat/jasa tertentu. Orang yang mengupahnya atau memberikannya gaji dinamakan musta’jir dan musta’jir ini boleh jadi individu, swasta atau negara. Transaksi (akad) perburuhan pula dipanggil ijarah.

Ijarah didefinisikan sebagai akad/transaksi atas manfaat/jasa yang dikeluarkan oleh ajir dengan memperoleh imbalan berupa ujrah (gaji/upah) dari musta’jir. Ini bererti, apa yang mendasari akad/transaksi ini adalah “manfaat” (jasa) yang dikeluarkan oleh ajir, bukannya “keperluan hidup” ajir atau yang lainnya. Atas dasar ini, Islam tidak memasukkan persoalan-persoalan yang menyangkut keperluan ajirterhadap kesihatan, pendidikan, insurans, pencen, perumahan dan lain-lain dalam transaksi ijarah. Ini kerana, definisi ijarah itu hanya terkait dengan ‘manfaat’ yang diberikan oleh ajir, serta ‘dihargakan’ dengan ujrah yang disepakati oleh kedua belah pihak. Oleh yang demikian, adalah wajar jika “manfaat” yang diberikan oleh ajir itu sedikit, maka upahnya juga kecil sesuai dengan kesepakatan kedua belah pihak.

Dari sini kita dapat fahami bahawa setiap ajir itu memberikan “manfaat” yang berbeza-beza sesuai dengan bentuk pekerjaan, pengalaman, kemahiran dan lain-lain, sehingga kuantiti ujrah tadi tidak dapat diseragamkan bagi semua manusia yang berakad. Kerana itulah Islam menetapkan bahawa ujrah tersebut hanya dipersetujui atau disepakati di antara dua pihak yang berakad sahaja yakni ajir dan musta’jir. Pihak ketiga atau orang lain yang tidak ada kena-mengena dengan akad tidak boleh masuk campur atau menentukan berapakah ujrah yang sepatutnya dibayar. Oleh itu, pemerintah selaku pihak yang tidak bersangkut paut dengan akad, tidak boleh dan tidak ada hak untuk campur tangan dalam penentuan ujrah antara ajir dan musta’jir, atas alasan apa sekali pun.

Ketentuan mengenai ujrah di dalam Islam disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran,

“Apabila mereka (wanita-wanita) menyusui anak kalian, maka berikanlah kepada mereka upah-upah mereka” [TMQ at-Thalaq (65):6].

Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda,

“Tiga orang yang Aku musuhi pada hari Kiamat ialah…..orang yang mengupah pekerja, kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya sedangkan orang tersebut tidak memberikan upahnya” [HR Bukhari].

Islam memerintahkan kepada kedua belah pihak (ajir dan musta’jir) menentukan ujrah sebelum dilakukan pekerjaan, sebagaimana sabda Nabi SAW,

“Apabila salah seorang di antara kalian mengupah seorang ajir maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni].

Imam Ahmad juga meriwayatkan sebuah hadis dari Abi Sa’id bahawa

“Nabi SAW melarang mengupah seorang ajir sehingga upahnya jelas (terlebih dahulu) baginya”.

Dari nas umum ini sahaja kita sudah dapat memahami bahawa transaksi ijarah hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu ajir dan musta’jir dan bersifat individual, tanpa melibatkan pihak ketiga (termasuk pemerintah) di dalam menentukan ujrah atau syarat-syarat pekerjaan lainnya.

Kewajiban ajir adalah bekerja mengikut spesifikasi pekerjaan yang disepakati dengan musta’jir, menepati waktu kerja (jam kerja dalam sehari, hari dalam seminggu dan sebagainya), tempoh kontrak dan kesemua syarat yang telah disepakati. Manakala kewajiban musta’jir pula adalah memberinya ujrah sesuai dengan kesepakatan, yang wajib dibayar tepat pada waktunya. Oleh kerana itu, setiap orang yang sudah menyetujui transaksi ijarah, baik ia sebagai ajir mahupun musta’jir, wajib mentaati dan menjalankannya dengan bersungguh-sungguh kerana mematuhi perjanjian (akad) di dalam Islam itu termasuk kewajiban yang qath’ie (pasti). Melalaikan kewajiban atau melanggar akad merupakan dosa besar dan wajib dikenakan uqubat (hukuman).

Dalam Islam, akadijarah tidak ada hubungannya dengan hak-hak politik warganegara, sebab transaksi ini hanya melibatkan ajir dan musta’jir dari aspek manfaat yang dikeluarkan dan imbalan (upah) atas manfaat tersebut. Transaksi ijarah tidak ada kaitan dengan hubungan antara rakyat dengan penguasa sehingga tidak dibenarkan dan tidak pernah ada faktanya dalam Islam, hak-hak berbicara, berkumpul atau berpersatuan dimasukkan ke dalam akad ijarah. Ini kerana hak-hak politik ini sudah pun dijamin dalam sistem Islam bagi seluruh kaum Muslimin, tanpa mengira sama ada dia seorang ajir atau musta’jir. Agar tidak terjerumus ke dalam kesalahan dan dosa, kaum Muslimin yang masuk dalam akad pekerjaan, baik ia sebagai ajir ataupun musta’jir, wajib mengetahui syarat-syarat, rukun, tata cara serta pelbagai bentuk akadijarah, termasuk jika terjadi perselisihan antara kedua belah pihak, kesemuanya wajib diselesaikan menurut hukum Islam.

Islam menetapkan bahawa, seandainya muncul perselisihan antara dua belah pihak tentang kadar gaji, maka urusan ini diserahkan kepada para khubara (para pakar) yang akan menentukan ajrunmitsli (gaji yang sepadan) untuk ajir tersebut sesuai dengan situasi dan pekerjaannya, kawasan tempatnya bekerja dan pertimbangan-pertimbangan lainnya. Orang yang memilih khubara adalah kedua-dua pihak yang bersengketa. Jika khubara ini belum dipilih atau mereka masih tetap berselisih, maka mahkamah atau negaralah yang berhak melantik khubara(negara hanya melantik khubara, bukannya menentukan gaji) bagi mereka [NidzamulIqtisadi Fil Islam, Taqiyuddin an-Nabhani].

Peranan Negara

Harus difahami bahawa peranan negara dalam Islam adalah menerapkan hukum syarak. Tugas negara adalah mengatur dan mengurus urusan seluruh rakyat dengan Islam, termasuk bertanggung jawab atas kesejahteraan rakyat, baik rakyat itu dari golongan ajir mahupun musta’jir, penganggur, pelajar, peniaga, nelayan dan sebagainya. Jika wujud kezaliman atau ketidakadilan, maka negara wajib mengatasi dan menyingkirkannya tidak kira sama ada ia dilakukan oleh siapa pun termasuk yang dilakukan oleh ajir terhadap musta’jir atau sebaliknya. Membiarkan kezaliman berterusan adalah perbuatan dosa dan maksiat dan ini diharamkan oleh Allah SWT.

Dalam sistem Kapitalisme hari ini, jaminan sosial (seperti pendidikan, kesihatan, insentif hari tua) hanya diberikan oleh negara kepada penjawat awam, itu pun berasal dari gaji yang dipotong setiap bulan. Manakala untuk pekerja swasta, jaminan sosial tersebut diserahkan kepada pengusaha atau musta’jir (ini yang menjadi beban bagi perusahaan dan menjadi sumber perselisihan dengan pekerja) dan negara juga berperanan membuat peraturan atau undang-undang berkenaan pekerjaan. Dalam sektor swasta, dalam banyak keadaan, golongan pekerja sentiasa berada dalam keadaan ‘kalah’ khususnya golongan pekerja bukan profesional di mana gaji/upah mereka selalunya rendah. Ini kerana, sistem Kapitalisme telah meletakkan orientasi “keuntungan maksimum” sebagai matlamat utama di dalam setiap perkara. Justeru, untuk memaksimumkan untung, musta’jir mestilah memberikan gaji/upah yang paling minimum kepada setiap pekerja. Apabila sampai waktunya untuk sesebuah kerajaan kapitalis yang zalim menunjukkan ‘kebaikan’ kepada rakyat, maka ia menetapkan undang-undang “gaji minimum” (dengan kadar yang lebih tinggi daripada yang selalu diberikan oleh musta’jir) agar kerajaan dilihat baik oleh rakyat, khususnya oleh golongan pekerja yang tertindas tadi, yang terdiri dari bilangan yang ramai secara relatifnya.

Di dalam Islam, adalah menjadi kewajiban negara untuk mendidik dan memberikan kursus kemahiran kepada rakyatnya semaksimum mungkin, di samping menyediakan lapangan kerja dengan menciptakan iklim kerja yang positif. Jadi, tanggung jawab menjaga kebajikan pekerja seperti penyediaan kesihatan dan sebagainya tidak dibebankan kepada para majikan, di mana pihak penguasa berlepas tangan, sebagaimana yang terjadi dalam sistem Kapitalis. Dalam sistem ekonomi Islam, negara wajib memberikan jaminan sosial baik kesihatan, pendidikan mahupun hari tua kepada seluruh rakyat baik ajir mahupun musta’jir, orang kaya mahupun orang miskin, Muslim mahupun non-Muslim. Di sinilah letak keadilan Islam, yang tidak berpihak kepada para ajir sahaja bahkan juga terhadap para musta’jir, malah kepada seluruh rakyat.

Rasulullah SAW selaku ketua negara, menjamin kesihatan rakyatnya di mana baginda membangun tempat berubat dan biaya perubatan diambil dari Baitul Mal. Demikian pula terhadap pendidikan di mana Rasulullah SAW mengenakan syarat tebusan bagi tawanan perang untuk memberikan pelajaran kepada kaum Muslimin yang buta huruf. Khalifah Umar al-Khattab pernah memberikan gaji guru sebesar 15 dinar sebulan (sekitar RM11,790sekarang) di mana gaji itu diambilnya dari Baitul Mal. Ini semua menjadi dalil bahawa negara berkewajiban menyediakan kesihatan dan pendidikan percuma kepada rakyat, di samping membuktikan kadar gaji guru yang sepadan diberi oleh Umar.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sekiranya sistem perburuhan Islam diterapkan (bersama dengan penerapan keseluruhan sistem Islam yang lain), maka Insya Allah tidak akan wujud persoalan atau krisis perburuhan sebagaimana yang berlaku dalam sistem Kapitalis sekarang, yang tidak habis-habis mengheret perbalahan antara ajir dan musta’jir dan juga campur tangan kerajaan. Tidak akan ada pemogokan buruh, piket, tuntutan naik gaji dan sebagainya dalam Islam. Pihak buruh tidak perlu melakukan semua itu kerana semua persoalan yang muncul wajib dikembalikan kepada akad individual yang telah dipersetujui oleh masing-masing ajir dan musta’jir. Sekiranya buruh tetap melakukan mogok dan sebagainya untuk menekan dan memaksa musta’jir membayar gaji/upah yang lebih tinggi dari yang telah disepakati dalam akad, maka hal ini bererti pengkhianatan terhadap akad dan ini dikecam oleh Islam dan pelakunya berhak mendapat uqubat. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [TMQ al-Maidah (5):1].

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui” [TMQ al-Anfal (8):27].

Sesungguhnya langkah menetapkan gaji minimum oleh kerajaan merupakan sebuah kezaliman kerana ia bercanggah dengan hukum Islam. Lebih zalim lagi apabila kerajaan menghukum pula majikan yang tidak mematuhi ketetapan ini.Wallahua’lam.


SUMBER


No comments

Powered by Blogger.