Lebih menarik daripada Raja Lawak

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.46636.1337139283!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg
FARUSH KHAN

Saya ambil cuti pada 3 Mei lalu semata-mata untuk mengikuti perdebatan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) dengan Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli, tetapi sayang seribu kali sayang, ia ditangguhkan.

“Suasana kini tidak sesuai; tarikh baru akan ditetapkan nanti,” demikian kenyataan dalam Sinar Harian, akhbar yang mengambil inisiatif membarakan program debat itu.

Dengan rekod 13 wacana yang sudah dianjurkan sejak 19 Mac tahun lalu, saya tidak ragu memang Sinar Harian mampu mengendali debat mengenai perlu atau tidak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dengan teratur.

Sebab itu apabila dimaklumkan debat itu akan diadakan pada 22 Mei depan di Shah Alam, awal-awal lagi saya sudah susun jadual untuk hadir.

Cuti atau tidak, saya akan tetap terpacak di situ, Insya-Allah. Minta jangan ditangguhkan lagi.

Keterujaan saya bukan ikut emosi. Ia berdasarkan rekod.

Maksud saya, jika KJ dan Rafizi dapat mempertahankan rekod prestasi mereka ketika berdebat di London awal tahun ini mengenai kemampuan Malaysia mencapai Visi 2020, mereka pasti akan berjaya lagi membuktikan perdebatan mereka bukan sekadar berlangsung dengan aman dan teratur, bahkan cukup menarik.

Terus-terang, rakaman pertandingan Raja Lawak yang memecahkan perut ramai penonton itu pun tidak mampu mempengaruhi saya untuk ulang menonton, seperti tarikan rakaman perdebatan KJ-Rafizi di London itu.

Saya sanggup ulang tayang rakaman program itu beberapa kali untuk menghayati mesej yang mereka sampaikan.

Diselang-seli dengan gurauan dan fakta yang mantap, perdebatan mereka cukup matang dan menarik. Tidak ada satu ketika pun saya berasa bosan, jauh sekali marah kepada mana-mana pihak.

Tidak ada ketika dalam tempoh perbahasan selama sejam setengah itu anda dapat lihat sama ada KJ atau Rafizi bertegang urat menegakkan benang basah, seperti yang biasa anda lihat berlaku di platform parti semasa ceramah dan kempen pilihan raya atau pada persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Malah, anda tidak boleh menahan ketawa dengan antik mereka. Rafizi, umpamanya, menceritakan bagaimana beliau dan rakan-rakan cuba berunding dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan kebenaran berhimpun di kawasan parkir Kompleks Mahkamah di Kuala Lumpur di hari keputusan kes Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Januari lalu.

Katanya ketika berunding mengenai syarat bagi membolehkan perhimpunan di bawah bil perhimpunan awam, beliau berasa seolah-olah ‘satu-satunya tempat yang kita boleh berhimpun adalah Gunung Jerai’.

Kalau partinya menang PRU13, katanya, antara yang mereka akan lakukan ialah mansuhkan bil tersebut.

Ada ketika, Rafizi menawarkan KJ menyertai PKR memandangkan ‘suara kita sama, umur pun lebih kurang sama tetapi anda tidak ada kuasa untuk lakukan apa-apa di sebelah sana’.

Sementara KJ pula mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Rafizi yang ‘melantik’ beliau menjadi menteri dalam negeri dan menteri pelajaran, tetapi akan tetap bersama Umno kerana banyak perkara sudah berjaya dicapai, walaupun beliau tidak menjadi menteri.

Kesimpulan perdebatan mereka menyentuh perasaan. Rafizi mengajak penonton membuat perubahan untuk kebaikan rakyat; tidak kira parti mana pun mereka pilih.

Namun KJ, dalam menghormati luahan Rafizi yang diakui begitu merendah diri, tetap berpendirian perjuangan berkesan hanya mampu dicapai melalui BN, kerana ia ada asas.

Yang jelas perdebatan itu banyak memberi ilmu dan membantu anda sedikit sebanyak membuat penilaian dalam menentukan calon dan parti mana yang memenangi hati dan undi anda pada pilihan raya umum (PRU) yang mungkin berlangsung dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Apa dalam hati mereka saya tidak tahu dan tidak mahu buat andaian, tapi KJ dan Rafizi, dalam perdebatan di London itu, kelihatan sebagai dua sahabat yang saling menghormati, lebih daripada dua musuh politik; berkongsi jenaka dan bertukar pujian serta pengiktirafan.

Mereka memang jelas matang dan sporting, menyuarakan pandangan dengan tertib dan sopan; mendengar dengan tumpuan, menjawab dengan senyuman; tiada kata-kata nista, tiada tuduhan, tiada fitnah, tiada maki-hamun, cuma sekali sekala gurauan dan sindiran ringan.

Marilah kita berdoa moga ciri-ciri mulia begini terus ujud dalam negara ini. Kalau di masa dekat tidak mungkin, saya yakin ia akan berlaku tidak lama selepas PRU13, yang mengikut ramalan pendeta politik, paling sengit dalam sejarah.Sudah tiba masanya kita berubah, dari segi pembangunan fizikal dan mentaliti; setuju untuk tidak setuju.

Bayangkan betapa hebat dan bertuahnya kita jika apa yang dilihat dalam perdebatan dua orang muda itu menjadi realiti di bumi indah yang kita cintai ini. Doakan.

No comments

Powered by Blogger.