7 Sisi Menarik Dalam Drama ‘Andainya Takdir’ Yang Anda Patut Tahu



Oleh Mohd Izwanuddin Abd Rahim   •  Suara  •  June 21, 2017

Drama Andainya Takdir yang dilakonkan oleh Shukri Yahaya, Nina Iskandar, dan Puteri Balqis sedang hangat ditayangkan. Drama yang diangkat daripada kisah benar ini mengisahkan tentang seorang suami yang sering memukul isterinya akibat cemburu dan termakan hasutan orang lain.

Ada beberapa sudut untuk melihat drama ini.

1. Sindrom Othello

Sindrom Othello ialah gangguan delusi (delusional disorder) yang berlaku kepada seseorang sehingga dia merasakan bahawa pasangannya itu curang atau tidak setia kepadanya tanpa bukti yang kukuh.

Orang yang mengidap Sindrom Othello akan sering mengesyaki pasangannya tidak setia, mencari-cari bukti kecurangan pasangannya walaupun tidak ada, berasa tidak selamat apabila pasangan tiada di sisi, mengongkong pergerakan pasangannya, dan sanggup mengasari pasangannya jika perlu.

Anehnya, mereka menjustifikasikan semua ini atas nama cinta yang terlalu mendalam. Nama lain bagi sindrom ini ialah ‘Morbid Jealousy’ (cemburu buta).

Sindrom Othello mendapat namanya sempena karya Shakespeare yang bertajuk Othello, The Moor of Venice. Dalam karya ini, Othello telah membunuh isterinya yang bernama Desdemone kerana cemburu.

Ini berlaku akibat hasutan sahabatnya, Iago. Watak Airil lakonan Shukri Yahaya yang sering memukul isterinya kerana cemburu ialah manifestasi Sindrom Othello.

2. Sindrom Stockholm

Sindrom Stockholm ialah keadaan yang berlaku apabila terbentuknya ikatan emosi yang kuat antara dua pihak dalam keadaan satu pihak mengasari, mengancam, atau mendera pihak yang lain.

Pihak yang didera, tidak menjauhkan diri daripada orang yang menderanya, sebaliknya menerima perbuatan orang yang menderanya dan mungkin menjustifasikannya pula.

Ini suatu keanehan kerana biasanya orang yang didera akan membenci orang yang menderanya, bukan menyayanginya. Sindrom ini mendapat nama sempena peristiwa rompakan bank yang berlaku pada tahun 1973 di Stockholm, Sweden.

Dalam peristiwa ini, perompak bank telah menculik beberapa orang mangsa sebagai tebusan. Setelah dibebaskan daripada tebusan, mangsa culik bukan sahaja tidak mahu mendakwa si perompak, malah mempertahankan tindakan perompak itu.

Watak Fatihah lakonan Nina Iskandar yang terus bertahan di sisi suaminya walaupun dipukul dengan teruk berkali-kali, menunjukkan kecenderungan sindrom ini.

Penghidap sindrom ini seolah-olah tidak nampak jalan keluar daripada masalah mereka dan menganggap apa yang berlaku sebagai takdir. Mereka malah mungkin menyalahkan diri sendiri sebagai punca hal itu berlaku.

Tajuk Andainya Takdir seakan-akan mengisyaratkan bahawa watak Fatihah hanya bersikap pasrah terhadap apa yang berlaku. Orang seperti ini perlu dibantu oleh orang lain kerana mereka tidak dapat memikirkan sendiri jalan penyelesaiannya.

3. Trauma Kanak-Kanak (Childhood Trauma)

Trauma kanak-kanak ialah gangguan fikiran yang berlaku kepada kanak-kanak akibat peristiwa tertentu yang menimbulkan kecederaan emosi dan kesan yang mendalam.

Watak Aleeya lakonan Puteri Balqis kerap menyaksikan ayahnya memukul ibunya. Aleeya hidup dalam ketakutan, kebingungan, dan kesedihan terhadap apa yang berlaku.

Jika keadaan ini berterusan, Aleeya akan membesar menjadi individu yang negatif, sukar mempercayai lelaki, dan pesimis terhadap kehidupan.

4. Al-Namimah

Al-Namimah ialah perbuatan batu api dan mengadu domba. Watak ibu Airil iaitu Normah lakonan Sheila Mambo penuh dengan sifat ini. Rumah tangga Airil dan Fatihah yang bahagia menjadi porak-peranda akibat sikap Normah yang sering menjadi batu api.

Jika dalam drama Othello karya Shakespeare, watak yang sepadan dengan watak Normah ini ialah Iago. Iago ialah orang kepercayaan Othello tetapi sering menghasut Othello agar mencurigai isterinya.

5. Nusyuz Suami

Nusyuz secara bahasa ertinya tempat yang tinggi. Manakala secara istilah, ringkasnya boleh diertikan sebagai meninggalkan kewajipan terhadap pasangan, tidak kira daripada pihak lelaki mahupun pihak isteri.

Nusyuz sering dikaitkan dengan isteri, namun al-Quran juga menyebutkan tentang nusyuz suami seperti berikut:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا وَالصُّلْحُ خَيْرٌ…

Ertinya:

“Sekiranya seseorang wanita ( isteri ) itu bimbang akan nusyuz atau berpalingnya ( suami ) terhadapnya, maka tidaklah menjadi kesalahan kepadanya untuk melakukan sulh ( perbaikan ) antara mereka berdua. Dan sulh itu lebih baik…” Surah al-Nisa’ [4] ayat 128.

Sebahagian sarjana juga menafsirkan bahawa perbuatan kasar seperti memukul isteri tanpa alasan yang munasabah di sisi syarak termasuk dalam nusyuz suami.

6. Sulh

Sulh ialah jalan untuk membaiki keadaan antara pasangan suami isteri apabila keharmonian rumah tangga tidak lagi dapat dikekalkan. Si isteri boleh menawarkan sulh dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai isteri agar mereka boleh berpisah.

Si isteri juga boleh menuntut fasakh, atau melakukan khuluk (tebus talak). Islam tidaklah menggalakkan perceraian, tetapi Islam juga menawarkan solusi apabila pasangan tidak lagi bahagia.

7. Pukalisme

Pukalisme berlaku apabila kita melakukan generalisasi. Seorang lelaki bergelar suami memukul isteri, maka habis semua lelaki dipersalahkan.

Seorang wanita bergelar isteri bersikap naif, habis semua wanita dipandang lemah. Seorang ibu mentua bersikap buruk, habis semua ibu mentua dianggap teruk.

Seorang ipar bersikap menjengkelkan, habis semua ipar dipandang serong. Ini digelar sebagai ‘Fallacy of Hasty Generalization’.

Falasi kerana tergesa-gesa membuat kesimpulan umum. Janganlah kita terperangkap dalam generalisasi ini. Masih ramai orang yang baik di luar sana.

Demikianlah beberapa sudut pandang yang boleh dilihat dalam isu ini.

Saya tinggalkan pembaca dengan kalam daripada al-Quran ini:

“Antara tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya dalam hal ini ada tanda-tanda bagi orang yang mahu berfikir.” Surah al-Rum [30] ayat 21.

Artikel di atas disumbangkan oleh Mohd Izwanuddin Abd Rahim. Bekas pelajar Sains Tulen yang melanjutkan pengajian dalam bidang agama dan meminati sastera. Boleh ikuti beliau di sini. Pautan artikel asal.

No comments

Powered by Blogger.