ISU HAK ASASI MANUSIA OLEH KOMUNITI LGBT :SHARE



ISU HAK ASASI MANUSIA OLEH KOMUNITI LGBT

1. #Jakim sentiasa melakukan usaha yang berterusan dalam menyantuni komuniti #LGBT di dalam negara. Contohnya, program Mukhayyam yang dihadiri secara sukarela dengan tujuan untuk mendekatkan komuniti dengan masyarakat dan golongan agamawan bagi mengurangkan stigma terhadap komuniti. Pihak Jakim juga melaksanakan aktiviti usrah dan kelas pengajian al-Qur’an dalam usaha menambah ilmu pengetahuan di kalangan komuniti serta perkongsian pengalaman dengan rakan sebaya serta rasa empati sesama komuniti untuk kehidupan yang lebih baik dan selari dengan tuntutan syariat. Pada setiap kali Ramadhan, iftar bersama komuniti juga diadakan sejak 2011, namun ia bukanlah ruang untuk memperjuangkan hak yang tidak selari dengan syariat, tetapi untuk kembali menepati kehendak agama.

2. Jakim tidak pernah bersetuju dengan sebarang unsur diskriminasi dan buli atas dasar kemuliaan insan. Namun begitu, perbuatan yang tidak bermoral, jelek dan bertentangan dengan fitrah, ia tidak berubah-ubah mengikut citarasa manusia dan peredaran zaman kerana ia ditentukan sesuai dengan penciptaan dan kesejahteraan manusia. Untuk masyarakat, sikap melabel, mengutuk, menghina dan mengeji serta mengambil kesempatan ke atas komunti bukanlah sikap yang baik, bahkan ia boleh dianggap ekstrem dan melampaui batas. Sikap seperti ini adalah bercanggah dengan semangat kemasyarakatan yang mengutamakan pendekatan nasihat dan menasihati serta berpesan untuk mengikuti kebenaran yang bersandarkan neraca agama.

3. Jakim juga bersikap objektif dengan tidak menaruh prejudis ataupun menghukum kepada komuniti, bahkan ingin mengajak sesiapa sahaja di kalangan komuniti yang mahu memperbaiki kehidupannya, boleh menyertai mana-mana program dan ruang yang telah kami sediakan dalam usaha menjalani kehidupan yang mengikut neraca syariat. Bagi Jakim, mana-mana perlakuan yang menyanggahi syariat, perlu diingatkan samada dalam bentuk tindakan perundangan atau pun dakwah yang berterusan kepada pelakunya.

4. Jakim juga menyedari bahawa terdapat 3 kelompok LGBT di dalam negara iaitu yang telah berubah, namun memerlukan sokongan dalam mengekalkan perubahan yang menepati tuntutan Syariat. Terdapat juga golongan yang masih bermujahadah dalam mengekang kehendak hawa nafsu dan akur betapa perlakuan LGBT adalah sesuatu yang menyalahi fitrah insani. Bagi kelompok ini, mereka perlu terus dibimbing bukan dihukum, diterang dan bukannya diserang. Manakala kelompok ketiga yang dilihat teguh menyokong perlakuan LGBT, maka perlu dihadapi dengan hujah dan perbahasan yang matang dan rasional untuk mengingatkan mereka bahawa kita tidak berkompromi dengan sesuatu perlakuan yang boleh meruntuhkan peradaban manusia.

5. Akhirnya, Jakim mengingatkan perjuangan atas nama hak kebebasan dan hak persamaan dalam isu LGBT hanyalah kosmetik yang nampak cantik pada luaran tetapi rosak pada dalaman. Ia tidak menyelesaikan masalah sebenar yang melibatkan penyimpangan tabii golongan LGBT. Perkara yang lebih utama adalah tuntutan kehidupan yang berteraskan syariat Islam dan ini selari dengan semangat perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Sekian

TAN SRI DATO' HAJI OTHMAN MUSTAPHA
19 Jun 2017

No comments

Powered by Blogger.