Rangka pesawat Hawk 108 ditemui



16/06/2017 8:15pm


Oleh IKHWAN IDERIS dan ADIL AIZUDDIN YUSOF

Lokasi di mana serpihan dan kesan daripada pesawat tersebut yang terhempas


KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan rangka pesawat Hawk 108 yang terhempas semalam telah berjaya ditemui berdekatan Kampung Yak Yah di Chukai, Terengganu pada pukul 10.27 pagi tadi.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh TUDM menggunakan helikopter EC725 bersambung pukul 7 pagi hari ini.

Jelasnya, pasukan dari Nombor 10 Skuadron Kuantan dianggotai Kapten Nazir Mohd. Nor, Kapten Muhammad Yunus Mat Nor, Sarjan Udara Azrin Mohamad@Johor, Koperal Udara Sharizal Bakhtiar Jamali dan Koperal Udara Zulbakrin Masuda telah diturunkan ke lokasi dan mengesahkan pesawat malang tersebut.

“Tindakan memasang perimeter keselamatan bagi tujuan penyiasatan serta keselamatan telah dilaksanakan dan TUDM kini dalam usaha mengeluarkan rangka pesawat tersebut.

“Lembaga Penyiasatan diketuai Leftenan Kolonel John Sham a/l Alagarsamy bersama tiga pegawai telah berada di lokasi untuk menjalankan penyiasatan bermula semalam,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan dua juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM yang terputus hubungan pada pukul 11.30 pagi semalam ditemui maut di kawasan hutan paya Chukai, Terangganu.

Mayat Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, dari Jempol, Negeri Sembilan dan Mejar Yazmi Mohd. Yusuf, 39, yang berasal dari Kuala Lumpur ditemui pada jarak 20 meter di antara satu sama lain bersama payung terjun masing-masing.

Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian Allahyarham Yazmi di Tanah Perkuburan Titiwangsa di sini semalam berkata, operasi SAR rangka pesawat buatan Britain itu sedikit mengambil masa atas faktor lokasi kejadian yang berpaya.

“Siasatan akan diteruskan dari masa ke semasa untuk mengetahui punca sebenar kemalangan tersebut

“Laporan awal akan dikeluarkan tetapi ia bergantung pada hasil siasatan, sekiranya kita dapat mengumpul bukti yang kukuh ia akan mempercepatkan proses laporan tersebut,” katanya.

Turut menghadiri pengebumian Allahyarham ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan warga TUDM yang lain.

Tambah Affendi, pihaknya akan memastikan kebajikan keluarga kedua juruterbang yang terkorban mendapat perhatian sewajarnya. - K! ONLINE

No comments

Powered by Blogger.