BERWASPADALAH UMAT ISLAM
MUKADIMAH : Negara telah digemparkan dengan laporan terdapatnya Himpunan Jubli Jerusalem yang dikaitkan dengan gerakan dakwah Kristian dan Yahudi yang bakal berlangsung di Melaka Bandaraya Bersejarah baru-baru ini.
Bagaimanapun, penganjur telah membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan tersebut di Melaka setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.
Tindakan tersebut ekoran 33 laporan polis telah dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung himpunan itu dari sekitar Melaka pada Isnin lalu kerana mendakwa pihak penganjur tidak menjaga sensitiviti umat Islam.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAR ITH MOHAMAD NIZAR bersama jurufoto, MOHD. AZIM ABD. RA HMAN berkesempatan untuk menemu bual Mufti Kerajaan Negeri Melaka, DATUK ABDUL HALIM TAWIL di Masjid Al-Azim, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh berhubung isu tergempar itu.
MINGGUAN: Apakah pandangan Datuk terhadap penganjuran perhimpunan itu?
ABDUL HALIM: Himpunan Jubli Jerusalem ini tidak sepatutnya diadakan dalam konteks Melaka dan Malaysia kerana telah menyebabkan publisiti yang buruk apabila terdapat dakwaan yang menggambarkan kerajaan negeri terlibat sama dalam penganjuran program tersebut.
Perkara ini jelas menunjukkan penganjur tidak menghormati perundangan negeri sehinggakan mengheret sekali nama kerajaan negeri meskipun sebarang permohonan tidak pernah dihantar, apatah lagi nak meluluskan penganjuran program itu.
Satu perkara lagi yang hendak saya katakan, penganjur juga tidak menghormati prinsip berperlembagaan yang diamalkan negara kita sehingga hari ini apabila mereka sama ada dengan sengaja ataupun tidak sengaja mengendahkan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Pada masa sama, mereka (penganjur) tidak menjaga sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Apa yang membuatkan penganjur memilih Melaka sebagai lokasi perhimpunan?
ABDUL HALIM: Saya dimaklumkan, program sebegini pernah dianjurkan di beberapa negeri lain tetapi hanya kecil-kecilan sahaja, namun mungkin terdapat beberapa faktor besar yang lain membuatkan Melaka dipilih sebagai destinasi perhimpunan besar-besaran.
Antaranya, Melaka merupakan sebuah negeri bersejarah dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negara.
Ada kemungkinan pihak penganjur nak membuka semula lipatan sejarah di mana pada suatu masa dahulu terdapat semangat penjajah yang datang ke negeri ini untuk menawan Melaka apabila Portugis, Belanda dan British bukan sahaja menawan, tetapi demi matlamat 3G (Gold, Glory, God).
Memandangkan Melaka juga adalah negeri pelancongan, mungkin mereka ingin menarik perhatian orang ramai dan memeriahkan lagi majlis mereka yang jelas sekali tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara.
Sebanyak 33 NGO buat bantahan menerusi laporan polis, adakah itu langkah yang tepat?
ABDUL HALIM: Ia (laporan polis) adalah satu tindakan bijaksana kerana mereka pada masa sama turut mempertahankan dasar kerajaan negeri kerana sebarang permohonan tidak pernah diterima setakat ini berhubung penganjuran program tersebut.
Lagipun, lebih baik supaya laporan polis dilakukan kerana tindakan itu juga mengikut saluran yang betul apabila tidak bercanggah dengan undang-undang dan kita juga tidak mahu berlakunya sesuatu keadaan yang tidak terkawal.
Tindakan membuat laporan polis sebelum program itu dijalankan juga menunjukkan kita mengamalkan demokrasi dan diplomasi apabila mengambil sesuatu tindakan secara berhemah.
Adalah lebih baik untuk membantah sebelum bermulanya program kerana kita bimbang sekiranya keadaan itu boleh menimbulkan satu ketegangan yang lebih besar dan kita perlu ingat, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Jika program diteruskan, apa impak yang boleh berlaku?
ABDUL HALIM: Saya yakin jika program itu dibiarkan untuk dianjurkan, elemen ketegangan pasti boleh tercetus dan berlaku sehingga menjadikan keadaan tersebut sukar mahupun tidak terkawal.
Suatu pertembungan dan pergaduhan boleh berlaku kerana jika kita tengok jadual yang telah dirancang oleh pihak penganjur itu pun, mereka menarik ramai tokoh dari luar negara untuk memberikan ucapan masing-masing yang pastinya boleh mewujudkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Itulah sebabnya saya katakan tadi, jika penganjuran program ini dibiarkan berlaku, perkara yang tidak diingini boleh tercetus, sekali gus menghuru-harakan keadaan serta mencemar imej negeri dan negara.
Sungguhpun begitu, saya juga yakin pihak berkuasa boleh mengawal keadaan itu, namun adalah lebih baik untuk kita bertindak mencegah daripada merawat. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bijak dalam menjaga keamanan dan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat negara ini.
Kenapa isu sensitif sebegini tidak diendahkan pihak penganjur?
ABDUL HALIM: Di sebalik penganjuran program ini, saya yakin terdapat satu agenda besar mahu dicapai oleh pihak tertentu iaitu untuk memecah-belahkan Islam, keamanan dan keharmonian yang sudah sekian lama menjadi amalan di negara kita.
Memang agak pelik kerana mengapa terdapat pihak tertentu yang ingin merosakkan kontrak sosial yang sudah menjadi pegangan rakyat negara, apatah lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama.
Perkara sebegini memang dilihat sebagai satu masalah yang amat serius kerana sebelum ini tiada pun program seumpama ini, tetapi secara tiba-tiba ada pihak datang membuat program dengan agenda yang tersembunyi serta mampu memecah-belah integrasi agama, kaum dan kemerdekaan negara.
Janganlah kita merosakkan kehidupan harmoni antara masyarakat majmuk yang selama ini hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang provokasi.
Dari sudut lain, ada perkara lain yang menyalahi undang-undang sekiranya program itu diteruskan?
ABDUL HALIM: Kalau program ini diteruskan juga, mereka (penganjur) sudah pasti tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan kita melihat itu sebagai satu usaha menentang institusi raja negara.
Pertama sekali, program tersebut pastinya akan ada elemen penyebaran gerakan dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam, sekali gus tindakan itu melanggar Perlembagaan kerana sesuatu agama itu boleh diamal tetapi tidak boleh disebar.
Pada masa sama, penceramah dari luar negara yang dijemput masuk juga mungkin tidak menggunakan saluran yang betul dan berkemungkinan melanggar akta yang diguna pakai oleh pihak imigresen.
Hal ini kerana tetamu yang dipanggil tadi mungkin masuk ke dalam negara sebagai pelawat, tetapi rupa-rupanya mempunyai misi lain iaitu sebagai pendakwah dan perkara itu jelas bertentangan dengan akta sedia ada kerana salah guna pas kemasukan.
Kita juga mendapat tahu mereka ini mempunyai satu hasrat yang besar iaitu bagi mewujudkan jaringan dalam satu gerakan zionis di peringkat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Kerajaan Tuhan’ dalam konteks mereka.
Ini semua juga berdasarkan ucapan seorang pendakwah Kristian dari Jordan, Afeef Halasah (yang turut dijadualkan berucap dalam perhimpunan di Melaka) yang menyebut: “And if that doesn’t happen, God will say, “Where is my Malaysian church? Where are my sons and daughters? Malaysia belongs to Me and I have given it to you to keep it for Me, to fill it with My glory and to establish My Kingdom.”
Apakah tindakan sewajarnya yang patut diambil terhadap penganjur supaya perkara sama tidak berulang?
ABDUL HALIM: Itu adalah di bawah bidang kuasa polis dan biarlah pihak berkuasa tersebut menjalankan tugasan mereka itu dalam menjaga keamanan dan keharmonian negara daripada sebarang ancaman yang memecah-belahkan masyarakat kita.
Bukan sahaja polis, malah pihak berkuasa yang lain juga akan bertindak mengikut bidang tanggungjawab masing-masing dan mereka diminta untuk memantau segala program yang dianjurkan oleh NGO berkaitan agama.
Sementara itu, umat Islam juga telah menunjukkan semangat bersatu mereka apabila membuat bantahan secara aman dan menghormati pihak yang lain dalam keadaan yang terkawal serta mengikut saluran undang-undang.
Adakah pihak Datuk sendiri ada memantau perkara seumpama ini?
ABDUL HALIM: Sudah pasti, ya, pemantauan memang kita ada lakukan kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam untuk berhati-hati dengan penyebaran sesuatu perkara yang boleh mengguris perasaan orang lain.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan mereka yang memberikan maklumat berhubung penganjuran program ini kerana kita dapat masyarakat bukan Islam turut berasa tidak selesa dengan himpunan itu.
Pada masa sama kita juga meminta pihak berkuasa untuk memantau sebarang aktiviti kurang sihat dan bukan sahaja memantau gerakan Kristian, malah Islam sendiri turut dipantau.
Ini membuktikan kita memang tidak bersikap berat sebelah kerana bagi orang Islam, kita tidak mahu penceramah dan pendakwah dari luar negara ini membawa masuk pemikiran ekstremis kepada masyarakat dalam negara.
Kita juga tidak mahu sebarang elemen keganasan seperti kumpulan militan Daesh menyebarkan perjuangan mereka yang menyimpang itu ke dalam jiwa masyarakat kita kerana Islam yang diamalkan di Malaysia berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Pada pandangan Datuk, adakah terdapat umat Islam yang mahu menyertai perhimpunan itu?
ABDUL HALIM: Walaupun penganjuran program bersifat Kristian, namun tidak dinafikan ia mampu menarik minat segelintir orang Islam, terutama mereka yang berfikiran liberal, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pluralisme dan berfikiran bebas.
Mereka akan menggunakan hujah bahawa Islam adalah agama yang bertoleransi, harmoni dan tidak akan melanggar sebarang batasan sekiranya menyertai perhimpunan keamanan, tetapi tanpa disedari mereka dipujuk untuk mengikut amalan agama lain.
Kita bimbang sekiranya mereka ini memberi persepsi negatif kepada pihak lain apabila mereka dilihat sebagai mewakili Islam sedangkan hakikat mereka sekadar minoriti sahaja.
Lebih membimbangkan adalah apabila mereka ini sudah terjebak dengan amalan agama lain, tiba-tiba mereka pula menjadi ejen menyebarkan ajaran lain dan terus mengelirukan umat Islam dalam negara.
Apakah nasihat Datuk kepada masyarakat Islam dalam negara sekiranya berdepan masalah ini pada masa hadapan?
ABDUL HALIM: Kita meminta umat Islam agar tidak menyertai himpunan seperti ini kerana bimbang atas dasar toleransi beragama, atas dasar kesamarataan dan kebebasan, mereka rasa tidak salah untuk pergi.
Saya minta umat Islam tidak tertipu dengan mainan pihak tidak bertanggungjawab ini kerana ia adalah agenda antarabangsa oleh pihak Kristian dan Yahudi ke atas negara kita dan mungkin untuk seluruh rantau ASEAN dan seluruh dunia yang mempunyai makna tersirat dan tersurat.
Umat Islam juga harus berhati-hati dengan agenda untuk memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian agama yang telah wujud di negara ini selain sensitiviti beragama dalam kalangan masyarakat majmuk.
Kita nyatakan kebersatuan kita dengan menambah ilmu pengetahuan, maka akan terlahirlah kebijaksanaan untuk menangani sesuatu isu mengikut saluran undang-undang.
Itu adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam dan saya minta semua untuk berhati-hati dengan gerakan Kristianisasi dan zionisme yang mahu mengelirukan dengan menyebarkan agama dalam kalangan umat Islam
No comments
Post a Comment