Tayar pesawat Malaysia Airlines MH725 pecah di Jakarta
HAKIMI ISMAIL
PUTRAJAYA 14 Jun - Tayar pesawat Malaysia Airlines MH725 pecah ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta , Cengkareng, Banten, Jakarta kira-kira pukul 8.04 malam tadi waktu tempatan.
KEADAAN tayar pesawat MH725 malaysia Airlines yang pecah semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.-Foto/Ihsan Malaysia Airlines
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan MH725 dari Kuala Lumpur mengalami kerosakan tayar ketika mendarat di lapangan terbang itu semasa hujan lebat tetapi pesawat itu dapat mendarat dengan selamat.
Memetik kenyataan yang disiarkan oleh syarikat penerbangan itu menerusi laman sosial Facebook, tiada penumpang atau anak kapal yang cedera.
"Malaysia Airlines memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kelewatan untuk pelanggan kami berkaitan insiden tersebut," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Syarikat penerbangan itu berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memberi segala bantuan dan memastikan kesejahteraan semua penumpang dan anak kapal.
Susulan insiden itu, penerbangan balik, MH724 dari Jakarta ke Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlepas pada 7.50 malam pada 13 Jun telah dibatalkan. Penumpang akan dipindahkan ke penerbangan lain, kata kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE
No comments
Post a Comment