Apabila Jawatan Dianggap Anugerah



Apabila Jawatan Dianggap Anugerah

1. Aneh sungguh melihat kaedah Kerajaan UMNO-BN menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku.
Skandal 1 MDB sudah pun naik muak kita mendengar deretan berita kes salahguna kuasa dan penyelewangan yang berlaku di dalamnya.

Dalam keadaan pihak berkuasa di negara lain telah pun bertindak ke atas pelaku jenayah yang terbabit tetapi pihak berkuasa di Malaysia masih lagi terkial melakukan proses penyiasatan kes yang tidak berkesudahan.

Peguam Negara, PDRM, SPRM, Bank Negara dan PAC kelihatannya tidak mampu untuk merungkaikan kes 1 MDB ini yang dilihat begitu rumit. Adakah1 MDB begitu kebal daripada sebarang tindakan.?

2. Kini, krisis Felda Global Ventures Holdings (FGV) pula berlaku, Terdapat dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa berlaku di dalamnya. Drama perbalahan antara Pengerusi FGV dan CEO FGV secara terbuka bagai membuka pekung di dada sendiri.

3. Seperti sediamaklum, Tan Sri Isa Abdul Samad bukanlah individu yang bersih daripada amalan rasuah. Pada tahun 2005, dia pernah didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti dan digantung keahliannya selama 6 tahun oleh Lembaga Disiplin Umno.

4. Namun, pada tahun 2011 PM Najib menganugerahkan jawatan Pengerusi Felda kepada Tan Sri Isa. Wah, beruntunglah dapat menikmati kekayaan Felda yang mempunyai aset berbilion Ringgit.

Pada tahun 2012, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) mula disenaraikan di Bursa Malaysia dengan penuh kebanggaan oleh Kerajaan kerana ia merupakan penyenaraian tawaran awam awal (IPO) yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook. Kerajaan memberi jaminan penyenaraian ini akan memberi keuntungan kepada Peneroka Felda.

5. Hakikatnya, kini apa sudah jadi kepada FGVH.?
Sahamnya terus menjunam kepada paras bawah daripada RM 2 berbanding pada awal dulu pernah mencecah RM 5.50. Pada masa sama, peneroka pula terus dibelenggu dengan hutang.

6. Pada awal Januari 2017, setelah timbulnya beberapa isu panas di dalam Felda, jawatan Pengerusi Felda telah ditukarkan daripada Tan Sri Isa Samad kepada Tan Sri Shahrir Abdul Samad. Namun, Tan Sri Isa masih kekal sebagai Pengerusi FGV.

7. Antara kes yang berlaku dalam Felda ialah penyelewengan projek ternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta, kerugian anak syarikat, Felda Iffco Gida Sanayi di Turki, pembelian kondominium mewah di London dibeli Felda Investment Corporation UK Properties pada harga sangat mahal iaitu mencecah RM497 juta.

8. Setelah puas melakukan kerosakan kepada Felda dan FGV, hari ini Tan Sri Isa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FGV dan kekosongan itu diganti oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob. Namun, PM Najib pada masa sama mengumumkan Tan Sri Isa kini dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Senang bukan.? Berundur daripada FGV, diberikan SPAD pula kepada Tan Sri Isa. Inilah masalahnya apabila jawatan dianggap anugerah bukan amanah.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS.
19 Jun 2017

No comments

Powered by Blogger.