KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA



KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA

BERKAITAN DENGAN PERTIKAIAN ANTARA ARAB SAUDI DAN BEBERAPA NEGARA LAIN DENGAN QATAR

1. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia memandang berat situasi yang berlaku antara Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain dengan Qatar. Peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan ini sangat mengejutkan umat Islam apabila hubungan beberapa negara Islam dengan Qatar diputuskan. Perpecahan umat Islam di peringkat antarabangsa semakin jelas dengan tindakan tersebut.

2. Natijahnya sebaik sejurus penamatan hubungan tersebut pelbagai pihak seolah-olah berebut-rebut mahu merakamkan pendapat mereka samada menyebelahi kumpulan negara-negara yang memutuskan hubungan diketuai Arab Saudi ataupun Qatar.

3. Maka pelbagai tulisan pandangan serta kenyataan diberikan memuji satu pihak dan menghina pihak yang satu lagi begitulah juga sebaliknya. Pelbagai ungkapan dan cerita yang sebelum ini tidak pernah didengar sudah mula ditularkan.

4. Apapun alasan pemutusan hubungan tersebut ataupun pembelaan yang diberikan oleh pihak Qatar, PPMM merayu agar umat Islam khasnya tidak terkinja-kinja menyokong sesepihak dan menghina sesepihak yang lain. Betul atau tidaknya suatu pihak sewajarnya bukanlah perkara yang menjadi teras kepada tindakan kita.

5. Sebaliknya PPMM mendesak umat Islam amnya dan Kerajaan Malaysia khasnya supaya memainkan peranan menjadi perantara menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik berdasarkan prinsip-prinsip agama Islam. Memainkan peranan sebagai perantara atau mediator ini adalah lebih mulia daripada menyokong mana-mana pihak samada betul atau salah. Malaysia perlu menzahirkan sikap neutral bagi menjalankan peranan sebagai perantara ini.

6. Apatah lagi Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat dihormati di kalangan negara Islam dan bukan Islam. Sudah pasti kedudukan dan penghormatan dinikmati Malaysia ini akan memberi kelebihan kepada Malaysia memainkan peranan sebegini.

7. PPMM juga menyeru umat Islam secara umumnya agar menghentikan memihak mana-mana pihak, berusaha mendamaikan dua saudara yang sedang bertikai atau sekurang-kurangnya berdoa agar kemelut yang dihadapi negara Islam di bulan Ramadhan ini dapat diselesaikan dengan segera.

8. Mendamaikan antara dua pihak yang bertikai adalah lebih baik dari memarakkan pertikaian dengan menyokong mana-mana pihak.

9. PPMM juga menyeru kumpulan negara-negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar dan Qatar sendiri berunding atas semangat Islam di bulan Ramadhan ini bagi mencari jalan penyelesaian kemelut kedua pihak ini. PPMM percaya kebolehan dan kemampuan Malaysia menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian ini.

10. Negara-negara Islam seharusnya merapatkan saf perpaduan dan bersatu dalam segala tindakan kita. Negara dan umat Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab yang terlalu banyak untuk digalas bersama, kita sebenarnya sudah tidak mempunyai masa untuk bercakaran sesama sendiri. Kepentingan agama Islam dan persaudaraannya hendaklah diberi keutamaan.

Dato' Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
14 Jun 2017

No comments

Powered by Blogger.