PM risik kahwin anak di Kazakhstan, Dr Dzul pertahan pendirian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa mengatur majlis risikan pertunangan dan perkahwinan anak perempuannya di Kazakhstan dan dalam masa yang sama hadir di negara itu atas urusan rasmi negara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad semalam mempertahankan dakwaannya bahawa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur menggunakan wang rakyat untuk urusan peribadi.

Pasangan itu sebelum ini dilapor menyertai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) tetapi juga dikatakan hadir untuk membincangkan majlis pertunangan anak perempuan mereka dengan anak seorang pemimpin negara itu.

“WIEF itu jadualnya telah disusun lebih awal, tetapi yang saya dimaklumkan oleh pihak yang boleh dipercayai, ialah pegawai-pegawai diminta menyusun program itu supaya jadual risikan pertunangan itu dibuat mengikut jadual WIEF,” kata Dr Zulkifli kepada TVSelangor.

“Jadi semua ini menimbulkan pertikaian dari segi ketelusan dan kebertanggungawaban” tambah beliau.

Dr Zulkefly berkata semasa lawatan rasmi mereka ke Amerika Syarikat baru-baru ini, Najib dan Rosmah turut mengambil peluang untuk menghadiri majlis penerimaan ijazah university membabitkan anak mereka.

“Hal seperti ini kalau dirujuk kepada prosedur mungkin betul, tetapi dari segi moralnya dipertikaikan kerana jelas berlaku percanggahan kepentingan awam dan individu’, kata beliau.

“Penyalahgunaan kuasa menyebabkan perkara sebegini berlaku, jadi kita tidak tahu dari segi perbelanjaan dalam semua kos-kos yang bersabitan, jadi susah kita mahu kenal pasti yang mana satu perbelanjaan rasmi dan yang mana peribadi,” kata Dr Dzulkifli.

Wisma Putra dalam kenyataan lewat petang semalam menafikan dakwaan itu, kononnya tidak berasas. Dalam sepucuk surat kepada Malaysiakini, Jabatan Penerangan dan Diplomasi awam, Kementerian Luar menegaskan lawatan itu untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat Presiden Kazakhtan, Nursultan Nazarbayev.

Menurut surat itu, lawatan itu juga ‘kebetulan’ diadakan serentak dengan penganjuran WIEF ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun.

Namun surat Wisma Putra itu tidak membuat sebarang penafian bahawa Najib dan keluarganya ada menziarahi bakal besannya semasa lawatan rasmi di negara itu.

No comments

Powered by Blogger.