Bas balik raya ditambah


Datuk Shahrir Samad.

Kerajaan sediakan 9,000 liter diesel subsidi bagi setiap kenderaan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi sehingga 9,000 liter diesel subsidi untuk setiap bas tambahan yang disediakan oleh pengusaha bas ekspres sempena perayaan Aidilfitri selama sebulan, mulai 15 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata mesyuarat Kabinet semalam membuat keputusan itu bagi memastikan sebilangan besar rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan bas untuk pulang beraya di kampung dapat meneruskan tradisi itu. "Kabinet putuskan untuk memberi diesel subsidi pada kadar yang diperlukan iaitu 9,000 liter seperti diminta pengusaha bas tetapi ia bergantung kepada penggunaan sebenar.

"Keputusan ini membabitkan tambahan subsidi kerajaan di antara RM100 juta hingga RM150 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Web TV Bernama di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.Shahrir berharap pengusaha bas tidak lagi memberi alasan untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas tambahan sempena Aidilfitri kali ini kerana subsidi diesel yang diberikan kerajaan itu tinggi dan menguntungkan mereka.

"Dengan pemberian diesel subsidi ini, surcaj 30 peratus terhadap tambang dan pengurangan kadar tol akan memudahkan pengusaha bas menambah bilangan bas untuk memenuhi permintaan," katanya.

Pengusaha bas ekspres sebelum ini mendakwa kuota diesel subsidi yang diberikan kerajaan serta surcaj 30 peratus terhadap tambang sekarang, tidak mencukupi untuk menampung kos operasi bas tambahan itu.

Berikutan itu, mereka mengancam untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas tambahan pada perayaan Aidilfitri kali ini hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama selepas tiket bas ke semua destinasi dilaporkan habis sebelum puasa lagi.

Shahrir percaya keputusan terbaru kerajaan itu dapat memastikan perkhidmatan bas tambahan pada musim perayaan ini mencukupi.

No comments

Powered by Blogger.