Cina pendatang, reaksi pertama Ahmad: 'Kenapa perlu minta maaf'
AHMAD Ismail ketika ditemui di pejabatnya di Pulau Pinang petang tadi. foto The Star oleh NG AH BAK
(Dikemas kini) PETALING JAYA: “Saya tidak pernah buat apa-apa salah pun. Kenapa saya perlu minta maaf.”
Demikian reaksi pertama Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menjadi personaliti kontroeversi berhubung kenyataannya bahawa masyarakat Cina merupakan pendatang.
Ahmad menegaskan, beliau tidak perlu meminta maaf atas 'kesalahannya' yang tidak dibuatnya.
Ditanya sama ada akan menerangkan mengenai perkara tersebut kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata:
“Saya akan terangkan perkara yang sebenar kepada Presiden parti pada Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri Sabtu ini,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Tambahnya, "mengikut budaya Melayu jika kita tidak membuat sebarang kesalahan kita tidak perlu memohon maaf."
Dalam satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.
Pelbagai parti politik termasuk MCA, Gerakan mahu Ahmad dikenakan tindakan dan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan terhadap masyarat Cina di negara ini.
Terdahulu di Putrajaya hari ini, Abdullah berkata, kaum bukan Melayu tidak harus menganggap kenyataan Ahmad bahawa orang Cina adalah pendatang dan tidak layak mendapat hak sama seperti Melayu sebagai dasar Umno kerana itu adalah pandangan peribadi.
"Dalam keluarga Umno yang begitu ramai akan adalah ahli-ahli Umno yang akan menyuarakan pandangan seperti itu," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan.
Dipetik Bernama, Abdullah berkata, kenyataan itu bukanlah satu yang disengajakan.
"Ia mengenai kedatangan orang bukan Melayu pada masa dulu, macam mana kedudukannya dan berubah pula setelah sama-sama bermuafakat dan menuntut kemerdekaan, setelah diadakan kontrak sosial," katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Ahmad memohon maaf kerana membuat kenyataan yang telah menyinggung perasaan masyarakat Cina negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun memohon maaf secara terbuka bagi pihak Umno dan berharap supaya orang bukan Melayu tidak terganggu dengan kenyataan Ahmad yang berbentuk peribadi itu.
Mengulas lanjut Abdullah berkata, Umno sangat berpegang kepada pemuafakatan dan kerjasama erat sesama parti komponen yang lain, justeru walaupun mungkin timbul sedikit kesilapan, persoalan pokok yang harus diambil kira ialah kesungguhan pemimpinpemimpin parti komponen yang sentiasa memainkan peranan mereka dengan baik.
"Jika ada yang pasang kamera tersembunyi (di bilik mesyuarat Kabinet), mereka akan terkejut dan rasa lega dengan kesungguhan kita membincangkan sesuatu perkara termasuk isu ini dalam Kabinet," katanya.
Beliau berkata, permohonan maaf Najib adalah tindakan yang wajar namun masyarakat masih memerlukan permohonan maaf daripada Ahmad sendiri untuk menjernihkan semula keadaan.
"Jadi saya cuba hubungi dia tetapi tak dapat lagi dan pemberita pun cuba, saya tahu.
"Dia akan kata itu bukan niatnya tapi kata orang, apa yang cakap dah tercakap, itu masalahnya. Pepatah Melayu berkata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya," kata Perdana Menteri.
Abdullah berkata, beliau pasti Ahmad akan tampil untuk memberi kenyataan kerana "tiada tempat untuk beliau bersembunyi."
"Mana dia nak `pi. Sekurang-kurangnya apabila saya ke Pulau Pinang, pasti saya akan berjumpa dia juga," katanya.
No comments
Post a Comment