Islam mengharamkan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’

Oleh Mohamad Radzwill bin Abdullah

 “Benda haram jika dibuat akan mendatangkan dosa. Dosa yang teramat berat akan dibakar di neraka”. Inilah formula yang paling mudah difahami untuk masyarakat kebanyak. Mereka yang bersekolah di sekolah Arab mungkin tidak tahu apakah itu syurga dan neraka.

Ini kerana perkataan syurga dan neraka itu tidak wujud dalam al-Quran dan juga kamus-kamus Arab. Walaupun Islam itu meliputi semua bangsa (seperti yang diuar-uarkan oleh ustaz-ustaz Malaysia), kamus Arab edisi terkini masih tidak memasukkan perkataan Neraka dan Syurga.


Orang Arab hanya mengetahui perkataan Jannah dan Jahannam. Jannah dalam bahasa Sanskrit ialah syurga sementara Jahannam pula bermaksud neraka. Apabila kepercayaan Hindu menyerap ke dalam sosio-budaya Melayu, orang Melayu telah mengambil kepercayaan syurga dan neraka ini. Oleh itu, apabila orang Arab juga membawa konsep yang sama, orang Melayu merasakan tiada keperluan bagi mereka untuk menukar perkataan syurga menjadi Jannah ataupun neraka menjadi Jahannam.

Ini kerana bagi orang Melayu dahulu hanya terdapat satu sahaja syurga dan satu sahaja neraka tidak kisahlah sama ada ianya dipanggil Syurga/Jannah/Heaven atau Neraka/Jahannam/Hell.

Begitu juga anak-anak Melayu sekolah Arab mungkin tidak memahami perkataan dosa kerana dosa juga adalah satu daripada perkataan Sanskrit. Perkataan Arab bagi dosa adalah Ithmu atau Athim.

Saya pernah diherdik oleh seorang pemudi Muslim kerana seringkali mengucapkan frasa ‘Syukur kepada Tuhan’ bukannya ’syukur kepada Allah’ atau mengucapkan frasa ‘Thank God’ bukan Alhamdullillah. Pada pendapatnya, saya perlu menggunakan perkataan ‘Allah’, kerana jika tidak, ucapan itu tidak akan sampai kepada Tuhan Arab yang Esa itu lalu terpesong ke tuhan-tuhan lain.

Jika begitu pemahaman mereka, maka pahala atau dosa mereka atau syurga dan neraka yang mereka kejarkan sudah tentu tidak menuju ke Jannah dan Jahannam yang disediakan oleh Tuhan Allah. Segala ustaz-ustaz dan program-program Islam tidak boleh menggunakan perkataan syurga, neraka, dosa, pahala kerana perkataan-perkataan ini adalah perkataan dari kitab Hindu Sanskrit yang membolehkan kita syirik kepada Allah S.W.T.

Malahan pemahaman segmentik mereka yang berlaku sejak zaman Hussein Onn iaitu lewat 70-an menjadi begitu teruk sehinggakan orang-orang Melayu Islam kini berebut-rebutkan Tuhan Islam. Pada mereka hanya mereka sahaja dibenarkan memuji akan Allah sebaliknya orang Kristian dilarang sama sekali ingin memuji Allah. Melayu Muslim sudah semakin parah sehinggakan sanggup mengatakan bahawa ‘Tuhanku Allah, kamu mempunyai Tuhan sendiri, guna perkataan God atau cari perkataan lain yang sesuai untuk agama kamu’.

Maha Suci Tuhan yang bebas dari segala penyekutuan. Bukankah kita diajar Tuhan itu Satu. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dialah Tuan kita yang kita minta pertolongan dan juga Tuhan kita yang kita sembah. Dialah yang mempunyai segala nama-nama yang mulia lagi baik yang menggambarkan keagungan-Nya.

Mengatakan bahawa tuhanku dan tuhanmu adalah berlainan adalah satu penyekutuan (syirik) yang boleh merosakkan akidah. Tidak kira penganut agama mana sekalipun sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu, Buddha, Sinto dan lain-lain, jika mereka meminta kepada Tuhan di langit maka Tuhan yang Satu itulah yang akan mendengar rintihan mereka semua. Yang membezakan adalah jika mereka meminta kepada patung-patung kerana patung bukanlah Tuhan. Patung-patung adalah ciptaan tangan manusia sendiri.

Tuhan itu satu, itulah kata Muhammad bin Abdullah, utusan Tuhan yang terakhir. Muhammad bin Abdullah adalah seorang Arab Hijaz yang hidup di sebuah pekan gersang Mekah. Mekah ketika itu adalah tempat ibadat Arab pagan.

Tanah Mekah bukanlah sebuah tempat yang baik. Usulnya adalah sebuah lembah gersang yang tiada langsung kehidupan. Namun, masyarakat mula menempatkan diri mereka di situ apabila penemuan sebuah telaga yang dipanggil telaga zam-zam (zamzam bermaksud air yang melimpah-limpah).

Kemudian dibina pula satu tempat penyembahan yang amat besar berbentuk kiub di sebelahnya untuk dijadikan petunjuk (kiblat) oleh masyarakat di situ. Maka mulalah pedagang-pedagang luar Mekah berkunjung ke situ untuk mendapatkan restu akan tempat penyembahan tersebut dan mengisi dahaga mereka termasuklah juga unta-unta tunggangan mereka. Sementara penduduk tempatan pula mendapat hasil melalui musim Haji.

Tahun demi tahun, puak-puak (kabilah) kecil di Mekah pada waktu itu semakin berkembang. Puak-puak itu pula saling mencemburui antara satu sama lain sama ada dari segi jumlah anak-anak lelaki dan juga hasil-hasil dagangan mereka. Sehingga pada satu ketika, mereka mula mewujudkan tuhan masing-masing agar digeruni oleh pihak lawan.

Maka wujudlah Patung Uzza yang besar lagi cantik yang disembah oleh puak tertentu. Ini disambut oleh puak yang lain dengan mewujudkan Patung Hubal dan Patung Manat yang diambil dari kalangan penduduk Nabatean di selatan Jordan. Akhirnya Mekah walaupun sebuah negara yang berlandaskan satu bahasa iaitu bahasa Arab namun mereka tidak pernah bersatu akibat mempunyai patung-patung Tuhan mereka sendiri yang mengikut hukum undang-undang masing-masing.

Akibat perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Mekah, Muhammad menjadi begitu sedih dan terseksa jiwanya. Lebih-lebih lagi apabila Muhammad di usia mudanya telah melawat banyak negara-negara lain seperti Syam yang memperlihatkan kegemilangan tamadun mereka. Lebih-lebih lagi penduduk Syam yang dipandu oleh hukum-hakam Kristian hanya menyembah satu Tuhan yang tidak berpatung dipanggil sebagai Sang Tuhan atau Allah.

Perlu diingatkan perkataan Allah telah sedia wujud pada ketika masyarakat pada waktu itu menyembah patung-patung Uzza, Hubal dan Manat.

Ini kerana Allah adalah bahasa Arab yang bermaksud Sang Tuhan. Ianya adalah satu perkataan umum yang diguna pakai oleh masyarakat seharian untuk merujuk kepada Sang Maha Kuasa tanpa khusus kepada tuhan-tuhan tertentu.

Itu sebabnya wujud perkataan, Masya’Allah atau Insya’allah di dalam perkataan seharian mereka walhal dalam waktu yang sama mereka tetap menyembah patung-patung Uzza, Manat dan Hubal.

Apabila Muhammad menyedari kebobrokan ini, Muhammad menggesa agar masyarakat Arab Mekah meninggalkan berhala mereka sebaliknya menyembah satu Tuhan sahaja. Ini kerana apabila mereka menyembah satu Tuhan yang umum, mereka tidak lagi berpecah-pecah di dalam kelompok-kelompok yang berlainan. Mereka boleh dibentuk untuk bersatu-padu dan menerima satu hukum bagi membentuk satu tamadun Mekah yang berjaya.

Hujah-hujah Muhammad ditolak oleh kaum mereka sendiri tetapi disedari akan kebenarannya oleh masyarakat Yathrib. Yathrib adalah sebuah pekan yang majoritinya adalah penduduk kaum Arab yang terdiri dari Bani Aus dan Bani Khazraj sementara minoritinya adalah penduduk Yahudi yang terdiri dari Bani Qainuqa, Bani Quraiza’ dan Bani Nadir. Setelah penduduk Arab Madinah mendengar bahawa terdapatnya seorang lelaki Arab (Muhammad) dari Mekah yang mengajak ke arah kesatuan melalui satu Tuhan, mereka terus memanggil Muhammad untuk menjadi ketua mereka.

Cepatnya mereka mempercayai Muhammad kerana beberapa faktor. Antaranya, perbalahan antara puak Arab dikalangan mereka, perpecahan yang menyebabkan ekonomi mereka terus dikuasai Yahudi dan kebiasaan mereka akan sistem satu Tuhan yang dipopularkan oleh puak-puak Yahudi. Yahudi telah menyembah Allah (Sang Tuhan) jauh sebelum Muhammad dilahirkan. Maka dengan dakwah Muhammad seorang lelaki dari bangsa mereka sendiri mengajak orang ramai menyembah Sang Tuhan, mereka dengan cepat memanggil Muhammad agar menguruskan masalah negara mereka.

Muhammad dengan cepatnya dapat membentuk masyarakat Yathrib agar menerima konsep satu Tuhan dan ianya tidak dibantah langsung oleh kapitalis-kapitalis Yahudi kerana mereka juga menyembah Tuhan yang sama. Dengan sembahan Tuhan yang sama, Muhammad pula menguatkuasakan satu undang-undang yang dibukukan melalui kitab suci Al-Quran. Muhammad menegaskan perlunya homogenous (satu ciri yang sama) melalui satu Tuhan, satu bahasa, satu budaya (dibentuk melaui satu undang-undang) kerana sebarang ‘kepelbagaian’ akan mengundang kepada perpecahan.

Yahudi mula memberi penentangan apabila Muhammad mula meluaskan budaya barunya kepada kaum tersebut kerana mereka merasakan adalah haknya berdiri di atas budaya mereka sendiri seperti yang terkandung di dalam kitab Taurat. Keingkaran mereka tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan menyebabkan mereka dibunuh dan dihalau dari bumi Yathrib.

Bukti diatas menunjukkan bahawa dasar kebangsaan atau fahaman nasionalisme yang dilakukan oleh Muhammad bin Abdullah adalah wajib dilakukan oleh masyarakat yang mahu hidup berlandaskan negara hukum. Negara tidak akan berjaya jika masyarakatnya tenggelam dalam kepelbagaian bahasa, budaya dan undang-undang. Undang-udang tidak dapat berjalan jika masyarakatnya berpuak-puak dan mengamalkan pengasingan bahasa, budaya dan undang-undang. Akibatnya begitu bahaya lantaran kezaliman akan bermaharajalela lalu lenyaplah keadilan dan kesaksamaan.

Dasar ‘Perpaduan di dalam Kepelbagaian’ yang dilaksanakan oleh negara Malaysia adalah haram dari segi syarak mahupun dari cerminan para sarjana Barat. Mengikut teori ‘Perpaduan di dalam Kepelbagaian’, masyarakat Malaysia dibiarkan hidup berpuak-puak dengan mengamalkan bahasa masing-masing dan budaya masing-masing walhal bagi sarjana barat pula, selagi adanya kepelbagaian di dalam negara, tidak mungkin wujudnya perpaduan.

Puak-puak masing-masing akan bertelagah dan cuba memenangkan kaum masing-masing hingga timbulnya ‘asabiyyah’ atau ‘chauvinism’ . Lalu akhirnya undang-undang dilanggar dan puak yang berjaya mendominasikan bahasa dan budaya mereka akhirnya akan berjaya.
Dasar kebangsaan atau dasar nasional atau dasar ’SATU’ yang dibuat oleh Muhammad adalah wajib diimani oleh mereka yang mahu mengikuti ajarannya.

Jika mereka percaya kepada Jannah dan Jahannam yang dibawa oleh Muhammad, maka mereka wajib melaksanakan dasar satu bahasa, satu budaya dan satu hukum. Apakah bahasa dan budaya yang relevan di Malaysia? Jawapannya adalah bahasa Melayu yang dipanggil bahasa Malaysia diadunkan dengan kebudayaan Melayu/Bumiputera.

No comments

Powered by Blogger.