Jual teknologi kepada Iran: AS fail tuduhan terhadap syarikat, individu termasuk di Malaysia

WASHINGTON 18 Sept. – Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuduhan terhadap syarikat dan individu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Malaysia, Jerman dan Britain yang didakwa menganggotai satu rangkaian antarabangsa yang memperoleh barang dan teknologi ketenteraan AS untuk dijual kepada Iran secara haram.

Pendakwa Raya AS bagi Daerah Selatan Florida, Alexander Acosta dijadual mengumumkan tuduhan-tuduhan berikutan siasatan dua tahun melibatkan beberapa agensi kerajaan pada sidang media di Miami bersama-sama Penolong Setiausaha Perdagangan bagi Industri dan Keselamatan, Mario Mancuso, kata pegawai AS semalam.

“Dengan menjalankan usaha secara meluas dan berkesan, kerajaan telah membongkar satu rangkaian antarabangsa yang mahu menyerang tentera Amerika dan sekutunya serta penduduk awam tidak berdosa dengan memperoleh teknologi sensitif AS untuk membuat bahan letupan buatan sendiri (IED) seperti yang digunakan di Iraq dan Afghanistan,” kata Mancuso dalam satu kenyataan.

Kesemua 16 defendan yang berpangkalan di luar negara itu dituduh menjalankan konspirasi dan melanggar Sekatan Perdagangan Iran, Peraturan Urus Niaga Iran, Peraturan Pentadbiran Eksport dan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.

Menurut Jabatan Perdagangan, barang buatan AS yang disalurkan kepada Iran menerusi rangkaian tersebut termasuk yang tertakluk kepada kawalan AS berkaitan teknologi peluru berpandu, keselamatan negara dan kempen antikeganasan.

Jabatan itu juga meletakkan 75 syarikat di 13 negara dalam “senarai entiti” yang bermakna mereka dilarang mengeksport barang yang tertakluk kepada Akta Pentadbiran Eksport.

Syarikat berkenaan beroperasi di UAE, Mesir, Malaysia, Singapura, Kuwait, Jerman, United Kingdom, Perancis dan AS, kata Mancuso.

Pendakwaan itu berpunca daripada satu kes 2006 melibatkan syarikat berpangkalan di Dubai, Mayrow General Trading yang didakwa oleh AS menyalurkan barang kawalan AS secara haram kepada Iran.

Barang itu kemudian menjadi komponen dalam bom yang digunakan untuk menyerang tentera AS dan bersekutu di Iraq. – Reuters

No comments

Powered by Blogger.