Kedah larang penyanyi wanita...

Seperti di Kelantan yang dikuasai PAS, kini tiada lagi persembahan penyanyi perempuan dibenarkan di Kedah, kata exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh hari ini.

"(Penyanyi) perempuan memang kita tidak terima 100 peratus (untuk kelulusan permit hiburan).

"Tetapi kalau persembahan itu khas untuk orang perempuan sahaja tidak mengapa," kata Dr Ismail, pengerusi jawatankuasa tetap kesihatan, penerangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan insan Kedah.

Beliau yang juga wakil rakyat Alor Mengkudu berkata, suara perempuan sebahagian daripada aurat.

"Kalau bersyarah lainlah," katanya kepada Malaysiakini, apabila diminta mengulas larangan sepenuhnya konsert di negeri itu yang kini bawah pentadbiran PAS.

world press freedom day concert central market 030606 fathulMenurut Dr Ismail, perkara itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat exco negeri Rabu lepas setelah diputuskan kira-kira dua bulan membentuk kerajaan selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat, Mac lalu.

Keputusan itu, tambahnya, antaranya berdasarkan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkannnya "cukup cantik" dan bersetuju sepenuhnya dengan isi kandungannya.

Sebelum ini, tambahnya, keputusan politik sudah jelas cuma di peringkat pentadbiran "agak berat dan perlahan" untuk dilaksanakan.

Dr Ismail berkata polis dan pegawai di pejabat daerah "tidak sebulu" dengan larangan itu kerana telah 50 tahun bekerja dengan bawah kerajaan BN negeri.

Kedua-dua badan kerajaan ini bertanggungjawab terhadap permit hiburan, katanya.

Dr Ismail turut menjelaskan, pengharaman turut melibatkan persembahan lain yang memberikan kesan negatif golongan remaja bukan sahaja empat jenis muzik yang dilaporkan Jumaat lepas – reggae, pop, rock dan dangdut.

"(Empat jenis muzik) itu hanya contoh," katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Ismail lagi, pengharaman tersebut buat masa ini hanya diguna pakai untuk tempat terbuka.

Acara persembahan pentas lain seperti tarian pula digalakkan untuk kanak-kanak sekolah bagi menggantikan penari dewasa kerana belum akil baligh, kata Adun PAS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan menulis surat kepada Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung pengharaman itu, esok.

"Kita ingin berbincang dengan kerajaan negeri tentang keputusan itu," kata pengurusnya Ahmad Abdullah.

Karyawan juga menggesa kerajaan Kedah memperhalusi lagi larangan tersebut.

Ia juga mencadangkan sebarang keputusan berhubung isu-isu seni dan hiburan mestilah melibatkan kumpulan seniman.


TAKBIR!!!!!!!!!TAKBIR!!!!!!!!!!!!!!

No comments

Powered by Blogger.