Keputusan SAPP Meninggalkan BN Petanda Rasa Tidak Puas Hati, Kata Koh Tsu Koon

PULAU PINANG, 18 Sept (Bernama) -- Keputusan pucuk pimpinan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan Barisan Nasional (BN) adalah petanda dan isyarat rasa tidak puas hati dan tidak senang, kata Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

"Dengan satu cara, ia juga mencerminkan banyak isu dan perhatian berat di Sabah yang terus tidak selesai atau selesai hanya sebahagiannya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun tidak terkejut, pemimpin Gerakan sedih dan memandang berat keputusan SAPP itu.

"Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri yang diterajui BN melipatgandakan usaha dalam menangani isu dan keprihatinan ini yang termasuk kemiskinan dan pembangunan tidak seimbang, pendatang haram, kekurangan infrastruktur dan perkongsian hasil," kata beliau.

Beliau berkata kedua-dua Dewan Tertinggi BN dan Jawatakuasa Pengurusan BN telah membincangkan isu-isu itu baru-baru ini dan mengadakan peruntukan khas dalam Bajet 2009 tetapi cabaran sekarang ialah penyampaian yang cekap dan pelaksanaan berkesan.

"Sebenarnya, BN dan kerajaan perlu melakukan lebih banyak untuk Sabah dan Sarawak, sebagai dua negeri terbesar, mempunyai sumber hasil lebih besar tetapi kurang membangun.

"Dari segi politik, dua negeri ini lebih genting terhadap kekuatan dan kestabilan berterusan BN," katanya.

Koh berkata adalah juga amat penting bagi pucuk pimpinan BN meneruskan usaha menyusun semula BN dan parti-parti komponennya.

"Hanya dengan cara itu BN dapat kekal relevan dan mendapat semula keyakinan dan sokongan rakyat, khsususnya generasi lebih muda," tambah beliau.

SAPP mengumumkan keluar dari BN selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu semalam.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.