Kerusi Pensiangan milik BN dibatal, SPR tunggu 14 hari


(Dikemas kini) PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Pilihan Raya Kota Kinabalu hari ini memutuskan bahawa kemenang kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN, Tan Sri Joseph Kurup (gambar) pada Februari lalu tidak sah.

Ia diumumkan di Kota Kinabalu pagi tadi.

Ia merupakan antara kerusi Parlimen yang dimenangi tanpa bertanding oleh BN dalam pilihan raya umum ke-12 awal tahun ini.

Keputusan tersebut dijangka akan membawa kepada pilihan raya kecil.

Bagaimanapun keputusan mahkamah itu boleh dirayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menentukan tindakan susulan selepas dua minggu.

"Tan Sri Joseph Kurup mempunyai masa selama 14 hari untuk membuat rayuan. Jika tiada rayuan SPR akan adakan pilihan raya (kecil) dan jika ada rayuan, kita kena tunggu enam bulan lagi untuk mengetahu perkembangan lanjut," kata beliau.

Kata beliau lagi, rayuan jika dikemukakan akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan dalam masa enam bulan.

Mahkamah Tinggi Pilihan Raya pada awalnya menetapkan 17 September ini untuk memberikan keputusannya mengenai petisyen pilihan raya kerusi tersebut.

Bagaimanapun hakim mahkamah tersebut ketika menetapkan tarikh itu bulan lalu ada menyatakan bahawa beliau akan memaklumkan jika keputusannya diumumkan lebih awal.

Petisyem didengar oleh Hakim Pilihan Raya, David Wong Dak Wah.

Kurup merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Kurup juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menang pada hari penamaan calon 24 Februari lalu di Dewan Majlis Daerah Nabawan.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai, 41, bagi kerusi Pensiangan, mengemukakan petisyen itu dan menamakan Kurup sebagai responden pertama dan Bubudan sebagai responden kedua.

No comments

Powered by Blogger.