PAS 'tunggu dan lihat' 16 Sept

PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" perkembangan desas-desus ahli-ahli parlimen BN melompat kepada Pakatan Rakyat seperti diusahakan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib presiden PAS Mohamad Sabu memberitahu Malaysiakini hari ini, parti itu belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung usaha penasihat PKR itu membentuk kerajaan persekutuan, yang dijangka akan berlaku menjelang 16 September ini.

"Kita tunggu dulu. Sekarang pun khabar angin. Khabar angin, (PAS) hendak mesyuarat macam mana?" katanya apabila ditanya sama ada parti itu akan menyertai kerajaan baru seperti ura-ura PKR.

Dalam wawancara di rumahnya di Shah Alam pagi ini, Mohamad berkata:

"Saya tidak kisah pada mereka yang yakin (pada usaha Anwar), tetapi secara secara peribadi saya nampak tidak berapa kuat kerajaan kita.

"Tidak kuat dan tidak berwibawa. Sebab dulu kita pun tidak setuju dengan dua ahli Semangat 46 yang melompat (kepada Umno) di Kelantan.

"Kita kata macam-macam kepada mereka. Jadi macam mana kita hendak tubuh kerajaan dengan orang melompat?"

Ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan langkah mantan timbalan perdana menteri itu, bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu berkata:

"Saya tidak kata (saya) tidak setuju. Saya tidak buatlah (rundingan). Saya pun macam orang lain, tunggu dan lihat."

Tambahnya, sebarang kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS menyokong usaha menarik wakil rakyat BN kepada Pakatan Rakyat adalah pandangan peribadi mereka dan tidak melambangkan keputusan parti.

Mohamad berkata lagi, tiada pemimpin PAS secara rasmi ditugaskan memujuk ahli-ahli parlimen BN meninggalkan parti pemerintah tersebut.

Beliau tidak mengetahui jika terdapat pemimpin PAS berbuat demikian atas kapasiti individu, tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.