Rakyat Dinasihati Jangan Percaya Khabar Angin, Kata Ahmad Shabery

KEMAMAN, 5 Sept (Bernama) -- Orang ramai dinasihati tidak mempercayai khabar angin yang dikeluarkan pihak tertentu melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) kononnya tujuh parti komponen Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar daripada BN hari ini.

Sambil menyifatkan penyebaran SMS itu satu perbuatan tidak bertanggungjawab, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan itu menunjukkan bahawa pihak terbabit sanggup melakukan pembohongan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat.

"(Penyebaran SMS) ini adalah satu pembohongan besar. Malah, dalam jadual yang dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab itu, mereka kata hari ini ada parti komponen dari Sabah dan Sarawak akan keluar daripada BN, tetapi ternyata ia tidak benar.

"Mungkin ada orang akan percaya (khabar angin atau SMS) yang tersebar luas sekarang tetapi realitinya tiada. Jadi, jangan hantar SMS dan isyarat seumpama itu kerana ia boleh menyebabkan rakyat gelisah dan keadaan ekonomi jadi kacau-bilau," katanya.

Ahmad Shabery mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang menggunakan nama agensi berita nasional, Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) hari ini mengeluarkan berita SMS kononnya tujuh parti komponen BN akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

Beliau ditemui selepas majlis penerangan Bajet 2009 dan Bantuan Jaringan Keselamatan Sosial serta majlis berbuka puasa di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery meminta rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin atau SMS palsu kerana pihak yang tidak bertanggungjawab itu sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta Bernama supaya membuat laporan polis berhubung penyebaran SMS palsu itu supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak terbabit.

Selain penyebaran SMS palsu kononnya tujuh parti komponen akan keluar dari BN, pihak tidak bertanggungjawab itu juga menyebarkan SMS, antaranya semua parti komponen BN dari Semenanjung Malaysia iaitu MCA dan MIC akan keluar dari BN esok.

SMS palsu itu juga menyatakan pada 7 Sept, 10 anggota Parlimen BN akan meletakkan jawatan dan menyertai Pakatan Rakyat manakala pada 12 Sept, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan usul sidang tergempar bagi membentuk kerajaan sementara di bawah Pakatan Rakyat.

Pada 15 Sept, Anwar dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi mendapat restu dan pada 16 Sept, beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Shabery turut mengingatkan rakyat bahawa pemilihan kerajaan sekarang adalah berdasarkan proses demokrasi dan bukannya disebabkan ada anggota Parlimen yang keluar daripada BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

-- BERNAMA

hang ke yang sebar fitnah@sms palsu?
............ bangang

No comments

Powered by Blogger.