Surat Terbuka Kepada YB Dato' Ir. Phahrolrazi dan YB Ir Amiruddin

kelanajiwa writes "
Surat Terbuka Kepada YB Dato' Ir. Phahrolrazi dan YB Ir Amiruddin (Exco Kerajaan Kedah Darul Aman)

Assalamualaikum

Saya terpanggil untuk menulis surat terbuka ini yang juga boleh dipanggil sebagai surat bantahan atau peringatan kepada kedua-dua YB atas rasa tanggungjawab saya sebagai salah seorang jentera dan akitivis Parti Islam Semalaysia (PAS). PAS yang kini telah diamanahkan mentadbir negeri Kedah Darul Aman selepas PRU-12 baru-baru ini.



Sebelum saya meneruskan, suka saya menyatakan bahawa kedua-dua YB malah kesemua wakil rakyat yang telah dipilih dan membentuk kerajaan negeri Kedah selepas PRU-12 baru-baru ini adalah terdiri daripada mereka-mereka yang dirasakan sesuai, terpelajar dan berkemampuan untuk memimpin bahtera kerajaan negeri ke arah yang lebih adil, telus dan mendasari rakyat.

Dalam konteks ini, perlu juga difahami bahawa wakil-wakil yang dipilih bukan hanya bertindak sendirian. Amanah yang diberikan oleh rakyat bukan hanya kepada wakil-wakil yang dipilih sahaja, tetapi juga tertanggung ke atas bahu-bahu ahli-ahli, jentera dan akitivis PAS di semua lapisan. Oleh yang demikian, sebagai salah seorang jentera yang bertungkus lumus mengangkat martabat PAS sehingga mencapai kejayaan terbaik sepanjang sejarah pilihanrayanya, saya ingin menyuarakan suatu perkara yang boleh dianggap sebagai teguran, amaran dan bahtahan.

Pada 29hb Ogos 2008, kedua-dua YB telah dijemput bagi menyampaikan ceramah bagi mengisi program sambutan kemerdekaan atau Temasya Sambutan Merdeka 2008 (TSM2008) anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Pendang. Ceramah tersebut dijadualkan pada 29hb Ogos 2008 bermula jam 9.00 malam dan bertempat di Dataran Pejabat PAS Kawasan Pendang, Gajah Mati, Pendang, Kedah.

Sudah barang tentu kedua-dua YB terlebih dahulu dimaklumkan berkenaan dengan program tersebut bagi mendapat persetujuan dan pengesahan kehadiran pada malam tersebut. Segala poster dan kain rentang berkaitan telahpun digantung, ditampal dan sebagainya seminggu sebelum program tersebut lagi.

Kepada YB Ir. Amiruddin
Apa yang mendukacitakan iaitu YB telah GAGAL HADIR hadir tanpa memberikan sebarang 'notis pemberitahuan' ataupun 'pesanan' kepada pihak penganjur majlis. Ketidakhadiran YB hanya di'kirim' melalui mulut kepada YB Ir. Phahrolrazi pada malam tersebut juga. Ini sungguh memalukan kerana YB hanya memandang enteng sahaja program tersebut. Ya! saya tidak menafikan bahawa pada kemungkinannya YB mempunyai 'maslahah' lain yang lebih penting, tetapi mengapa tidak diberitahu lebih awal atau secara rasminya memberitahu pihak penganjur secara langsung. Malah YB juga tidak menjawab panggilan telefon dan SMS yang dihantar. Ini suatu perbuatan yang memalukan dan mengecewakan kerana program anjuran DPPK Pendang tersebut hanya dipandang 'sebelah mata' sahaja sedangkan jika sebelum ini (sebelum menjadi exco dan sebelum mentadbir negeri Kedah), YB nampaknya tidak berkira untuk hadir ataupun memaklumkan secara baik mengenai keuzuran dan sebagainya.

Kepada YB Ir. Phahrolrazi
Tetapi, yang lebih mengecewakan sehingga menaikkan nafsu ammarah pemuda mengenai sikap tidak matang YB sebagai seorang ADUN dan Exco Kerajaan Negeri yang diberi amanah mentadbir negeri. Perbuatan YB sungguh-sungguh memalukan dan perlu dikritik. Pada malam tersebut (29hb Ogos 2008), YB Ir. Phalrolrazi telah hadir pada jam lebihkurang 9 lebih malam (minta maaf kalau tersilap kerana saya tidak melihat jam waktu YB sampai). Sesampainya YB telah disambut oleh ahli jawatankuasa penganjur dan YB langsung menunaikan solat Isya' terlebih dahulu. Setelah selesai menunaikan solat, YB telah berkata dengan perkataan yang agak jelek untuk didengari "orang tak dak, nak ceramah lagu mana ni"....dan lagi "la ni orang bukan nak dengar ceramah"...Pada saya ucapan tersebut tidak sepatutnya diucapkan kerana siapa kami yang berada di perkarangan pejabat PAS tersebut? Kami bukan ingin mendengar ceramah politik, tetapi kami ingin mendengarkan perkhabaran mengenai kerajaaan Kedah serta perkembangan portfolio yang YB pegang.

Memang di akui tidak begitu ramai orang hadir pada malam tersebut berikutan masalah cuaca yang hujan renyai-renyai. Ketidakhadiran juga mungkin disebabkan kesejukan minda masyarakat setelah PAS berjaya menawan Kedah. Tetapi, itu tidak sepatutnya menjadi alasan kepada YB untuk tidak berceramah kerana di luar sana (kampung bersebelahan, rumah-rumah berkdekatan) masih lagi boleh mendengar laungan suara YB melalui corong pembesar suara yang dipasang. Selain itu juga, dalam perkiraan saya, terdapat lebih kurang 100 orang berada di gerai-gerai berhampiran dan di tepi-tepi jalan di luar pagar. Dan ini juga sikap tidak matang YB sebagai Exco Pertanian Negeri Kedah yang berstatus Ir. jika hendak dibandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Perlis, Us. Hashim Jasin yang dijemput menyampaikan ceramah pada malam sebelumnya. Beliau tetap berceramah walaupun di hadapan beliau hanya terdapat kira-kira 30 orang 'audience' sahaja.

Pada suatu ketika, YB telah dijemput oleh saudara setiausaha Pemuda bagi menyampaikan sedikit penerangan sebagai meraikan kehadiran, tetapi ditolak oleh YB. Dengan tidak semena-mena, YB telah bertindak balik kerana ada urusan lain. Memang saya mengatakan sekiranya sikap berterusan seperti ini yang ditunjukkan oleh seorang YB daripada PAS dan tambahan pula sebagai Exco, maka tidak hairanlah jika orang ramai berkata "PAS tidak reti memerintah", "Pemimpin PAS hanya pandai bercakap" dan berbagai lagi.

Saya dengan ini sekeras-kerasnya mengkritik malah mengutuk tindakan tidak matang dan sikap biadap YB Ir. Phahrolrazi tersebut kerana tidak menghormati majlis dan menganggap ahli jawatankuasa pemuda DPPK Pendang yang menyambut kedatangan beliau sebagai 'budak'. Kalau tidak dikerana 'budak-budak' seperti kami, YB jangan bermimpi untuk hinggap di kerusi Exco malah jangan bermimpi PAS mampu menawan Kedah. Kalau semasa berkempen pilihanraya, jangan kata sepuluh orang, kalau di depan YB hanya anak hingusan berumur setahun pun YB akan berceramah. Tetapi apabila sudah berpangkat, kehadiran ke majlis perlu dirai dengan penuh protokol laksana pak menteri (mungkin nak rai seperti UMNO). Kehadiran mendengar ucapan YB juga perlu ribu-ribu orang, kalau seratus orang hanya mungkin menyakitkan anak tekak. Ini semua perbuatan biadap dan menghina.

Saya tidaklah mewakili DPPK Pendang dalam melontarkan perkataan ini, tetapi saya mewakili diri saya sendiri kerana jelek dengan sikap kedua-dua YB.

Juga ingin disambung lagi kepada YB Dato' Taulan Rasul
Semenjak YB dilantik mengaggotai Exco dan dianugerahkan Dato', sungguh payah telefon hendak berjawab, sungguh payah untuk mendengar aduan rakyat. Kalau dulu, dari jauh sudah ditegur, tetapi sekarang umpama 'merak kayangan'.
Jika ini berterusan, jangan hairan sekiranya pada PRU-13, PAS di Kedah tersungkur menyembah bumi seperti apa yang berlaku di Terengganu. Kini pimpinan PAS Negeri Kedah sudah mula seperti 'kacang lupakan kulit'....Bersedialah dan berharti-hatilah....anda semua diperhatikan."

No comments

Powered by Blogger.