Kawalan keselamatan Parlimen diperketat selepas pergaduhan

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di Parlimen diperketatkan berikutan insiden pergaduhan yang berlaku semalam, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai tragik kerana Parlimen sepatutnya menjadi satu tempat yang bebas dikunjungi sesiapa sahaja.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Parlimen Eropah, Hartmut Nassauer, di pejabatnya di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, langkah keselamatan itu, walaupun tidak menyenangkan, perlu diambil kerana wujud sekumpulan manusia yang tidak memahami bahawa kekerasan, paksaan dan menggertak tidak boleh diterima dalam masyarakat negara ini.

Katanya, rombongan seperti kanak-kanak sekolah yang ingin melawat Parlimen tidak akan dihalang memasuki kawasan itu.

"Kita cuma akan menghalang serta mengenakan sekatan terhadap mereka yang dikesan boleh mengganggu atau mengancam ketenteraman atau keselamatan Parlimen," katanya.

Perkarangan bangunan Parlimen kecoh semalam apabila sekumpulan individu berhimpun untuk menuntut Pengerusi DAP, Karpal Singh memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap Pemuda Umno.

Keadaan menjadi kecoh apabila beberapa orang Ahli Parlimen masuk campur dan berlaku insiden tolak menolak sesama mereka.

Ditanya sama ada mereka yang menimbulkan kekecohan sebelum ini akan disenarai hitam daripada memasuki Parlimen, beliau berkata, langkah itu tidak perlu.

Abdul Hamid berkata, bilangan anggota keselamatan juga tidak akan ditambah sebaliknya jumlah kemasukan mereka yang tidak berkenaan akan dikurangkan.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku bukan sahaja memalukan Parlimen tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.