Jangan salah tafsir pandangan Abdul Hadi
FEB 28 — Nampaknya kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi telah dilihat sebagai mahu bekerjasama dengan Umno. Padahal apa yang dicadangkan oleh beliau untuk semua pihak di negara dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan politik sekarang.
Cadangan ini jauh sekali berbeza dengan cadangan Mac 2008 lalu iaitu muzakarah Pas-Umno. Ini kerana cadangan ini bakal melibatkan semua parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat dan juga dalam Barisan Nasional. Ia bukan kerjasama antara Pas dengan Umno semata.
Inilah mesej yang saya sendiri dapat apabila saya turut terlibat dalam wawancara antara Saudara Adib Zalkapli dari The Malaysian Insider, saya dari Siasah dan juga Nazri Abdullah dari Tvpas.com. Wawancara ini berlaku pada jam 2.30 petang di Tingkat 14, Bangunan Parlimen Selasa lepas. Untuk kepentingan ketiga-tiga pihak yang mewawancara ini, kami berjanji ia akan diterbitkan serentak iaitu hari Jumaat semalam.
Sebagai karyawan dari Siasah, saya yang mula memberikan soalan. Soalan saya pula berdasarkan apa yang kami fikirkan di Siasah dan apa yang telah kami buat di Siasah.
Siasah, sebelum ini telah menyiarkan dua kali berturut-turut cadangan kami agar ahli-ahli politik di negara ini samada dari PR atau BN agar melakukan genjatan senjata.
Untuk edisi pertama, kami cadangkan agar pilihan raya dua bukit nanti dijadikan mahkamah rakyat. Keputusan pilihan raya ini hendaklah dipatuhi oleh BN dan PR.
Jika Pas menang di Bukit Gantang, BN kena terima hakikat rakyat Perak mahukan Pas memimpin negeri itu. Datuk Dr Zambry Kadir kena serahkan balik kerajaan Perak kepada PR. Jika BN menang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin secara baik serahkan kerajaan Perak kepada BN. Tarikh balik saman ke mahkamah dan patuhi kehendak rakyat Perak itu.
Dalam keluaran berikutnya, di muka depannya kami laporkan semua sokong politik damai. Kami tinjau pendapat pelbagai pihak dan kebanyakan mereka bersetuju dengannya.
Kenapa kami lakukan ini? Kerana, kami sendiri sebagai karyawan di akhbar politik sudah letih dengan apa yang ada. Kami setuju nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin agar media fokuskan kepada ekonomi yang bakal gawat dan kurangkan cerita politik.
Bagi kami, cerita politik akan kurang kalau ahli politik memberikan fokus kepada ekonomi yang bakal gawat. Kurangkan aktiviti politik yang bagi kami sudah terlebih dan melampau sekarang.
Dalam masa yang sama, kami mendapat maklumat, isu ini turut dibincangkan di kalangan pemimpin politik termasuk dalam Pas dan PKR. Yang kami tak tahu pandangan pemimpin DAP dan Umno sahaja.
Pemimpin Pas dan PKR kami difahamkan bersetuju agar satu genjatan senjata dibuat untuk membolehkan semua pihak dapat memberikan fokus kepada ekonomi yang bakal meleset. Mereka akan memberikan tumpuan kepada lima negeri yang mereka perintah. BN pula tumpukan negeri yang mereka perintah dan kerajaan pusat. Namun ini tidak boleh dibuat kerana ketegangan politik ini.
Di kalangan Pas, kami difahamkan tidak berbangkit lagi yang tidak sokong idea ini kumpulan Erdogan kerana mereka juga setuju dengan politik damai ini. Kita akan bertembung lagi dalam pilihan raya ke 13 nanti. Buat masa sekarang mari kita berikan masa dan minda kita untuk hadapi masalah yang bakal dihadapi rakyat.
Atas dasar inilah, saya secara peribadi bertanyakan soalan kepada Presiden Pas itu. Maka, jawapan yang kami terima adalah beliau cadangkan politik damai atau bentuk kerajaan perpaduan ala Habibie di Indonesia lalu.
Dalam kerajaan itu, semua berada di dalamnya. BN, PR dan parti-parti dalam kedua-dua komponen ini. Masing-masing mendapat peranan berdasarkan kekuatan masing-masing samada dalam DUN atau Parlimen.
Ketika itu, semua akan memberikan fokus kepada usaha untuk kepentingan yang dipersetujui bersama iaitu menghadapi masalah ekonomi, rasuah serta perpaduan, kata Abdul Hadi.
Oleh itu tidak berbangkit soal Abdul Hadi mahu bersama dengan Umno kerana ketuanan Melayu dan seumpamanya. Ia adalah untuk kepentngan negara dan rakyat.
Mungkin kerajaan perpaduan ini tidak dapat bertahan lama. Mungkin dua tahun sahaja sebagaiman di Indonesia zaman Habibie dahulu. Tetapi kena ingat, kesannya besar kepada negara Indonesia itu. Hingga kini, masalah demokrasi, melawan rasuah dan ekonomi sangat jelas arahnya.
Selepas itu, apabila datang pilihan raya ke 13, semua parti-parti politik ini akan bertembung kembali. Kita bentuk kerjasama sebagaimana pra 2008 lalu dan kembali membentuk kerajaan baru selepas itu.
Inilah ideanya, apa yang saya faham dari wawancara dengan Abdul Hadi Awang itu. Jadi jangan berfikir yang bukan-bukan kerana saya adalah antara penentang muzakarah Pas-Umno 2008 lalu.
No comments
Post a Comment