pelik: beli rumah nak dekat kaabah tapi.................- malaysiakini
Pangsapuri di Arab Saudi yang dibeli oleh syarikat pelaburan kerajaan negeri Selangor pada 2007 adalah di bawah nama menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pentadbiran sekarang mendakwa wujud kepincangan dalam urusniaga terbabit.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa jumlah unit pangsapuri yang dibeli oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PSNB) di bawah nama Dr Mohd Khir.
Sambil memberi jaminan bahawa perkara itu akan disiasat secara terperinci, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya ada unsur-unsur jenayah dalam urusniaga berkenaan.
"Dalam mesyuarat lembaga pengarah pada Disember 2007, Dr Mohd Khir memberitahu bahawa pangsapuri tersebut di bawah namanya, tetapi memberi jaminan beliau tidak akan membuat sebarang tuntutan terhadap hartanah tersebut," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan.
Kelewatan memuktamad akaun
Abdul Khalid berkata, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diketuainya, telah melantik para penasihat untuk meningkatkan lagi prestasi anak-anak syarikat dan menilai perbelanjaan mereka.
Menurutnya, satu perkara yang dipandang berat oleh MBI ialah kelewatan memuktamadkan akaun kewangan PNSB bagi 2007.
Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah 'Al Marwa Tower Makkah' - yang dibangkitkan oleh auditor luar.
Menurut pekeliling resolusi lembaga pengarah PNSB yang bertarikh 14 September 2007, kata Abdul Khalid, PNSB meluluskan pembelian lima unit pangsapuri itu pada harga lebih RM8 juta.
Bagaimanapun, katanya, rekod-rekod menunjukkan bahawa PNSB telah - antara 17 dan 19 September 2007 - memindahkan lebih RM25 juta ke Arab Saudi untuk 12 unit hartanah tersebut.
Menurutnya, antara 25 September dan 3 Oktober, PNSB menerima cek-cek berjumlah RM17,251,092 dari seorang individu - yang dikatakan telah membeli tujuh unit pada harga sama yang telah dibayar oleh PNSB.
Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, tidak ada resit rasmi dikeluarkan untuk pembayaran tersebut.
'Tindakan membingungkan'
Kemudiannya, kata Abdul Khallid, pada tahun 2008, lembaga pengarah PNSB mendapat tahu bahawa syarikat pelaburan itu telah menyedia dan menandatangani empat keping cek berjumlah RM8,000,205.20 kepada seorang individu.
Menurutnya, individu tersebut adalah orang yang sama, yang membayar cek berjumlah RM17 juta kepada PNSB sebelum ini.
Bagaimanapun, menteri besar berkata, tiga daripada empat cek PNSB yang sudah siap ditandatangani itu, telah dibatalkan
Abdul Khalid berkata, cek keempat berjumlah RM2 juta telah dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam akaun individu berkenaan. PNSB kemudiannya berurusan dengan bank untuk menghentikan bayaran.
Menurutnya lagi, antara tarikh pembelian tujuh unit tambahan - menjadikan jumlahnya 12 unit - serta penjualan tujuh unit, dan tinggal lima unit dimiliki PNSB - tiada mesyuarat lembaga pengarah diadakan atau terdapat pekeliling resolusi bagi urusniaga tersebut.
Katanya, sehinggalah pada saat pengeluaran dan pembatalan cek-cek kepada individu berkenaan, tidak minit mesyuarat lembaga pengarah atau pekeliling resolusi dibuat.
Sambil menyifatkannya sebagai membingungkan, Abdul Khalid bertanya mengapa PNSB membayar lebih RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut.
"Mengapa ia menerima kira-kira RM17 juta - yang dikatakan bagi penjualan tujuh unit? Mengapa ia kemudiannya mahu membeli balik unit-unit yang telahpun dijualnya?" soal Abdul Khalid.
Khir: Dalam proses pindah nama
Dalam reaksinya, Dr Mohd Khir mengakui bahawa kesemua 12 unit tersebut dibeli di bawah namanya bagi memenuhi syarat-syarat perundangan di Arab Saudi.
Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sedang dalam proses memindahkan hakmiliknya kepada menteri besar sekarang.
"Malah, saya telahpun menandatangani tiga dokumen untuk proses pemindahan hakmilik tersebut kepada nama Abdul Khalid," katanya.
Dr Mohd Khir juga menjelaskan bahawa lembaga pengarah (PNSB) telah meluluskan pembelian 12 unit pangsapuri.
"Tujuh unit telah dijual kepada seorang individu tetapi kemudiannya, lembaga pengarah mahu membeli balik tujuh unit tersebut. Tetapi saya membatalkan urusniaga tersebut.
"Saya memberitahu lembaga pengarah bahawa adalah tidak baik untuk membeli semula unit-unit tersebut walaupun ia dijual balik pada harga yang sama," tambahnya.
Dr Mohd Khir berkata, semula angka dan fakta berhubung urusniaga tersebut telah didokumenkan dan oleh itu, tidak berlaku sebarang penyelewengan.
"Hakikatnya ialah, PNSB tidak hilang wang dalam urusniaga tersebut. Anda boleh semak rekod-rekodnya," tambah beliau.
No comments
Post a Comment