Polis suraikan penyokong tahanan ISA di IPD Brickfields


KUALA LUMPUR: Polis terpaksa bertindak "tegas" menyuraikan sekumpulan individu yang berhimpun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini sebentar tadi untuk membuat laporan secara beramai-ramai berhubung layanan tidak adil kepada tahanan ISA di Kamunting.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata, rancangan 500 individu untuk membuat laporan secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini dianggap sebagai perhimpunan haram dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Kata beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam, tegas beliau.

Sekumpulan 500 individu yang merupakan penyokong tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) P.Uthayakumar merancang untuk membuat laporan polis beramai-ramai di IPD Brickfields esok kerana mendakwa pihak berkuasa mengabaikan kesihatan Uthayakumar yang berada dalam tahanan.

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis beramai-ramai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Katanya, polis tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk membuat laporan polis tetapi bukan secara beramai-ramai.

Polis akan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat laporan polis dengan minimum tiga orang.

No comments

Powered by Blogger.