GERAKAN vs MIC!- MALAYSIAKINI

Jangan campuri urusan dalaman MIC

PULAU PINANG 25 Feb. - Gerakan diminta supaya tidak mencampuri urusan dalaman MIC sebaliknya menjaga urusan parti sendiri.

Pengerusi MIC cawangan Taman Reservoir, Bukit Bendera, M.K. Atchuthan berkata, sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang masih junior sepatutnya pemimpin Gerakan berusaha memantapkan parti setelah mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

''Jagalah parti sendiri, jangan sibuk kacau orang lain. Sebagai parti yang telah berusia hampir 40 tahun, kami tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk MIC.

''Mereka patut tutup mulut dan jaga urusan parti sendiri. Kenyataan yang dibuat Naib Presiden Gerakan, Huan Chen Guan benar-benar tidak masuk akal dan dia tidak ada hak untuk berbuat demikian,'' katanya.

Atchuthan berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan memorandum bantahan kepada Gerakan Pulau Pinang di pejabat parti itu di Jalan Macalister di sini semalam.

Chen Guan baru-baru ini, meminta Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memberi laluan kepada kepimpinan muda dan pada masa yang sama mencadangkan supaya MIC bergabung dengan Gerakan.

Kakitangan bahagian pentadbiran Gerakan Pulau Pinang, Khoo Teik Lee menerima memorandum tersebut sebagai wakil Gerakan negeri.

Turut hadir bersama beliau, Pengerusi MIC Bahagian Taman Chee Seng, R. Nagarajan dan beberapa orang penyokong parti tersebut.

Kelmarin, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, MIC tidak akan bergabung dengan Gerakan.

Menurut Atchuthan, ahli MIC juga masih memerlukan kepimpinan Samy Vellu untuk menerajui parti itu.

''Setakat ini, tiada sesiapapun yang layak menggantikan Samy Vellu. Beliau telah memimpin kami untuk tempoh yang lama dan banyak yang telah dilakukannya. Hanya dia yang layak menerajui MIC,'' katanya.

Tambahnya, walaupun Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon telah meminta maaf tetapi ahli parti itu mahukan beliau atau naib presidennya itu meminta maaf secara terbuka.

''Tindakan disiplin juga patut dikenakan pada Chen Guan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Satu tindakan perlu diambil,'' katanya.

No comments

Powered by Blogger.