DAP persoal kegagalan polis lindungi Karpal


PULAU PINANG: Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kegagalan pihak polis melindungi Karpal Singh ketika Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dikerumuni oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno di perkarangan Parlimen Khamis lalu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata, kumpulan itu telah menghalang pengerusi DAP itu dari memasuki Dewan Rakyat dan melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Insiden itu berlaku di luar Parlimen dan polis harus mengambil tindakan bagi menghalang kumpulan Umno itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk memasuki atau campur tangan di Parlimen.

"Dalam kes ini, polis telah gagal dalam tugas mereka untuk melindungi rakyat," kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau menghargai Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing yang meminta maaf atas kejadian itu dan berpendapat Pemuda Umno juga harus berbuat demikian.

Dalam kejadian kirakira pukul 2.45 petang itu, perkarangan Bangunan Parlimen kecoh apabila sekumpulan individu berhimpun dan menuntut Karpal memohon maaf atas kenyataannya yang memaki Permuda Umno sebagai celaka dalam sidang Dewan Rakyat. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.