Warkah Untuk Datuk Ibrahim Ali
Assalamualaikum YB Datuk,
Ada dua tiga perkara yang saya ingin utarakan kepada Datuk, mudahan Datuk bersedia untuk menatapnya.
1. Datuk kata Datuk Ahli Parlimen Bebas. Tak apalah. Tetapi adakah Datuk benar-benar bebas atau sekadar bebas menghentam PAS dan Pakatan Rakyat sahaja?.
Selepas Datuk menang di Parlimen Pasir Mas atas tiket dan lambang Bulan, saya tidak pernah mendengar Datuk mempersoalkan kebejatan BN/Umno berbanding sebelum pilihanraya.
Sebelum Pilihanraya Umum, apa yang Datuk tidak kata kepada Umno dan pemimpinnya. Pendek kata mereka menjadi mangsa belasahan Datuk tidak kira siang dan malam. Pak Lah, Najib, Awang Adek, Stopa dan Nuar Musa sudah menjadi sardin dilanyak oleh Datuk. Apakah lanyakan semasa itu adalah kerana Datuk mengampu nak jadi calon?
2. Datuk tak usah bercakap mahu mempertahankan maruah raja-raja melayulah. Bukankah Datuk yang menganjurkan demontrasi menentang KDYMM Al-Sultan Kelantan dan Raja Perempuan di bangunan Umno tahun 1992 dahulu? Apa yang Datuk tidak tulis di sepanduk-sepanduk pada masa itu.
Bukankah Datuk juga terlibat untuk menggoncangkan istana Kelantan dengan dakwaan Al-Sultan Kelantan tidak layak menduduki takhta kerana pewaris yang sebenar adalah Tengku Iskandar?
3. Datuk sepatutnya menunjukkan setiakawan dengan PAS kalaupun tidak mahu bertegur sapa dengan Pakatan Rakyat. Tindakan dan tingkah laku Datuk sekarang ini seolah-olah sedang mencipta alasan untuk melepas diri dari PAS.
Orang-orang PAS sedih dan marah apabila di atas pentas PASpun Datuk menghentam dan memukul PAS dan pimpinannya.
Cuba Datuk fikir, adakah pemimpin-pemimpin PAS memukul Datuk di atas pentas dan di tempat terbuka selepas Datuk diberi keistimewaan bertanding atas tiket PAS? Tak ada Datuk, tak ada. Mereka menghormati Datuk dan amat setiakawan.
Kenapa Datuk tidak menegur secara setiakawan sekiranya Datuk merasakan pimpinan PAS perlu ditegur? Bukan Datuk tidak boleh bersua muka dengan Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Hadi. Datuk boleh jumpa dan boleh berbincang dengan mereka bila-bila masa sahaja. Ini tidak, Datuk mengambil peluang menghentam mereka bukannya menasihati. Datuk memperlekehkan mereka tetapi apabila pimpinan PAS hentam Datuk balik Datuk naik angin. Apa Datuk ingat Datuk seorang sahaja yang betul?
4. Datuk kena ingat, sejarah Datuk bertanding atas tiket Bebas sudah terbukti - kalah. Datuk kalah lebih teruk dari orang lain kalah. Apakah Datuk tidak merasa malu dengan lambang yang tergantung di dada Datuk semasa kempen pilihan raya dulu? Sekarang ini sesenang itu Datuk menghentam dan melanyaknya?
5. Akhir sekali Datuk, cuba Datuk fikir baik-baik dengan fikiran yang lapang dan waras. Sudah 2 kali Datuk mengalami fenomena ini. Pertama semasa Datuk lari dari perjuangan Semangat 46 dahulu dan keduanya, sekarang ini. Apakah Datuk ingin mengulangi sejarah itu lagi?
Apakah sanggup sekali lagi Datuk mengkhianati undi dan kepercayaan rakyat Pasir Mas kepada Datuk? Jangan sampai rakyat Pasir Mas berkata “jenis manusia apa Datuk ini?
Datuk… tidak memadai dengan apa yang Datuk selalu sahaja kata “walaupun mulut aku jahat tetapi hati aku baik”. Jarang berlaku mulut jahat hati baik tetapi biasanya kalau mulut sudah jahat hati lagilah jahatnya.
Cubalah Datuk befikir dengan akal yang dianugerahkan Allah SWT itu dan jangan takbur dengan kebijaksanaannya kerana Allah lagi Maha Bijaksana.
Cukuplah Datuk berfikir untuk Melayu tetapi cuba fikirkan pula untuk Islam. Islam mampu menyelamatkan melayu akan tetapi melayu tidak mampu menyelamatkan Islam.
Selamat berfikir Datuk.
No comments
Post a Comment