Hantar signal tidak iktiraf “politik pintu belakang” yang menaikkan Dr Zambry sebagai MB BN di Bukit Gantang
MALAM ini Presiden PAS akan mengumumkan calon PAS yang akan bertanding menentang calon Umno-BN dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang, beritahu Roslan SMS dalam blognya.
BN telah pun mengumumkan nama calonnya. Penamaan calon dijadualkan pada hari Ahad 29 Mac ini. Dan pertarungan di Bukit Gantang nanti dikira sengit. Apa pun PAS perlu menang PRK ini. Suasana di Perak hari ini sebagaimana kita semua tahu adalah tegang.
Walaupun kehidupan rakyat berjalan seperti biasa namun kemelut perlembagaan dan politik masih berligar dan menghantui hati dan perasaan semua rakyat. Kini ada dua MB di Perak, dan rakyat terus tertanya-tanya. Tuntutan agar diserahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan setakat ini tidak diendahkan.
Tiba-tiba Allah swt mentakdirkan berlaku satu pilihan raya kecil juga. Bukan kerana ada wakil rakyat melompat tetapi kerana wakil rakyat meninggal dunia, lalu terpaksa sama ada suka atau tidak diadakan juga satu PRK. Apa “significant” PRK ini? Dari segi politiknya, sekurang-kurangnya rakyat Perak diberi peluang untuk menyuarakan isi hati mereka.
Mereka mahu dewan negeri dibubarkan agar mereka boleh memutuskan siapa yang mereka mahu memimpin negeri ini, tetapi permintaan itu tidak dilayan, kini PRK ini membuka peluang bagi mereka merakamkan suara hati itu.
Jika BN kalah juga sebagaimana mereka kalah berturut-turut dari Permatang Pauh sehingga ke Kuala Terengganu bermakna, mereka sudah tidak ada harapan untuk pergi lebih jauh lagi. Dan di Bukit Gantang jika ini berlaku, mesejnya rakyat tidak mengiktiraf “politik pintu belakang” yang menaikkan Dr Zambry sebagai MB BN.
Kerana itu penting bagi PAS , seluruh pimpinan pendukung dan penyokongnya memberikan tumpuan dan bekerja bersungguh-sungguh sehingga dapat mempertahankan bukit bertuah ini. Biar kita menghantar isyarat yang jelas kepada pihak BN dan semua pihak lain yang berkaitan yang merestui “politik pintu belakang” di Perak ini.
Hanya rakyat di Bukit Gantang yang dapat menebus kembali kuasa dan maruah rakyat yang dinodai oleh “politik pintu belakang” yang dimaksudkan.Begitulah juga halnya di Bukit Selambau dan di Batang Ai, PKR atas nama Pakatan Rakyat perlu juga menang di sana.
Calon kita akan diumumkan malam nanti, sudah pasti ianya calon yang difikirkan oleh pimpinan sebagai yang terbaik untuk memenangkan parti.
Marilah kita semua membantu beliau untk memenangkan parti. Kalau kita boleh di Permatang Pauh dan di Kuala Terengganu, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mencapai prestasi yang sama di Bukit Gantang. Ayuh kita ke sana!
No comments
Post a Comment