Musang Berbulu Ayam dan Pemilihan Umno

YANG korek itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa

Jadi tidaklah indah bahasa seandainya musang berbulu ayam dibaratkan kambing korban.

Yang menuturkan itu mungkin hendak menampilkan budinya. Tetapi ibarat kendi yang rosak kerana kotor air di dalamnya, maka rosak jugalah budi kerana bahasa.

Dalam pengertian Islam, kambing korban amat suci. Nabi Allah Ibrahim sudah bersedia mengorbankan anaknya Nabi Ismail apabila Allah Taala menggantikannya dengan seekor kambing.

Maka dalam pengertian Islam, kambing korban adalah haiwan yang sangat suci. Orang yang rasuah atau mengamalkan politik wang pastinyalah bukan kambing suci.

Dalam peribahasa Inggeris pun “sacrificial lamb” (anak kambing biri-biri korban) adalah mulia. Dia seorang yang tidak bersalah tetapi dikorbankan untuk menyelamatkan orang lain yang bersalah atau untuk menutup sesuatu keaiban.

Jadi, dalam konteks tindakan Lembaga Disiplin Umno pada 17 Mac lalu, isu kambing korban tidak berbangkit langsung.

Mereka yang dapati bersalah kerana rasuah politik wang dan dihukum itu bukan sekali-kali kambing korban atau “sacrificial lamb”.

Musang Dalam Reban Umno

Kalau kita hendak berterus terang, mereka adalah musang berbulu ayam atau mengikut ungkapan Inggeris “wolves in sheep skin” iaitu serigala yang berbulu kambing.

Tidak perlulah sesiapapun membuat alasan atau cakap berlapik kalau mereka mahu menjadikan pemilihan Umno 26 Mac ini sebagai titik permulaan pemulihan parti itu.

Kalau ada di kalangan calon Majlis Tertinggi Umno musang berbulu ayam, kita kata sajalah mereka musang berbulu ayam.

Bagi yang tidak faham bahasa Melayu atau lebih selesa dengan bahasa Inggeris, kita kata sajalah mereka itu “the wolves in sheep skin.”

Kalau di kampung saya pada waktu desa masih desa di mana petani memelihara ayam dan itik, musang yang masuk ke reban ayam akan ditembak dengan senapang patah.

Kita jangan keliru, musang bukan “fox” yang didapati di kawasan iklim sederhana dan sejuk. Haiwan jenis itu tidak ada di negara kita. Musang yang kita maksudkan ini dipanggil “civet cat” dalam bahasa Inggeris.

Jadi amat kenalah Lembaga Disiplin bertindak keras terhadap musang-musang berbulu ayam.

Tapi biarlah adil. Jangan ada musang yang dibedil dan ada musang yang dijentik telinga sahaja – tidak kiralah musang itu musang tenggalung (Malayan civet cat) atau musang pulut (palm civet cat).

Awas Calon Rasuah

Atau adakah dua orang calon itu sahaja yang terbabit dengan rasuah politik wang? Yang bukan calon atau yang jadi wakil dan tukang tabir duit lainlah. Yang kita maksudkan ini calon.

Apa hal pula dengan calon yang didakwa di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana politik wang macam Norza Zakaria? Bolehkah dia bertanding?

Atau perwakilan yang terima rasuah? Terima duit kocek dan penginapan tu perkara biasa. Ini yang terima duit sehingga boleh beli kereta baru atau bercuti ke luar negara.

Memanglah susah hendak mencari pemimpin politik yang sempurna dan unggul, tidak kira dalam kem kerajaan atau pembangkang, di Malaysia atau di negera-negara lain.

Hanya di negara yang mengamalkan sistem satu parti macam China atau yang tidak ada pembangkang macam Singapura yang boleh memilih-milih pemimpin.

Mula-mula sekali tidak ada calon atau pemimpin yang sempurna dan unggul kerana mereka pun manusia juga.

Kita lihat sajalah apa yang telah dan sedang berlaku dalam barisan kepemimpinan Pakatan Rakyat. Walaupun PR diuar-uarkan oleh penyokongnya sebagi lebih bagus daripada kepemimpinan Barisan Nasional, namun kita lihat ia juga sedang mengalami pelbagai masalah.

Huru-hara di Perak sekarang bermula apabila tiga Adun PR – dua dari Parti Keadilan Rakyat dan seorang dari DAP –keluar parti dan “menyokong” BN. Dua bekas Adun PKR itu pula sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.

Di Bukit Selambau, Kedah, pilihan raya kecil terpaksa diadakan kerana Adun PKR, V Arumugam, meletakkan jawatan pada 9 Feb. lalu atas sebab masalah peribadi.

Dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008 dia bertanding bebas dan kemudian menyertai PKR.

Kemudian pada 17 Feb. Adun PKR Bukit Lanjan, Selangor, Elizabeth Wong, pula mengumumkan peletakan jawatan Adun dan Exco setelah gambar bogelnya tersebar di khalayak.

Gambar itu didakwa diambil dan disebarkan oleh bekas kekasihnya, Hilmi Malek, 32, yang juga seorang petugas penting PKR. Hilmi menghilangkan diri dan dipercayai lari ke Indonesia.

Adalah menjadi pengetahuan umum yang ramai pembesar PKR, khasnya yang berasal dari Umno, kerap menggunakan Jakarta sebagai tempat “rendezvous” (ron-day-vu -- bertemu) untuk membuat perancangan atau menyembunyikan diri.

Kemudian pada 21 Mac, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, juga dari PKR, diumumkan akan meletakkan jawatan berkuat kuasa 8 April ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng (DAP) berkata Mohammad Fairus juga akan mengosongkan jawatan Exco tetapi enggan memberi sebab dia meletakkan jawatan walaupun wujud dakwaan oleh orang PKR sendiri yang dia terbabit dengan kes kuari di negeri itu.

PR Kuat Atau BN Lemah?

Ini membawa kita balik kepada persoalan adakah BN lemah kerana PR kuat atau PR nampak kuat sebab BN sangat lemah?

Kalau PR benar-benar kuat tidak apalah. Sekurang-kurangnya pengundi mempunyai pilihan. Maksudnya PR boleh menjamin kepemimpinan yang lebih baik daripada BN dan Umno.

Tetapi apa halnya jika PR sebenarnya tidak kuat, tetapi nampak kuat kerana BN dan Umno sangat lemah?

PR masih boleh menjadi alternatif kepada Umno dan BN yang lemah. Tetapi apakah ini alternatif yang unggul bagi pengundi dan rakyat jelata Malaysia?

Kalau inilah keadaannya, kita sebenarnya sedang mengalami masalah kepemimpinan politik nasional yang sangat mencemaskan. Apatah lagi kita sekarang sedang mengalami masalah ekonomi yang runcing.

Justeru itu, keputusan pemilihan Majlis Tertinggi Umno Khamis ini bukan sahaja relevan kepada Umno malah akan memberi kesan kepada politik nasional keseluruhannya.

Sekiranya perwakilan membuat pilihan yang tetap dengan memilih calon yang terbaik dari segi kebolehan dan moral, maka harapan Umno pulih daripada kecelakaan PRU ke-12 adalah lebih cerah.

Sebenarnya, dengan penolakan pengundi Cina dan India terhadap BN pada pilihan raya umum lalu, khasnya calon-calon MIC, Gerakan dan MCA, Umno perlu lebih kuat mempertahankan hak orang Melayu di samping cuba memulihkan BN.

Pertimbangan Memilih Pemimpin

Mungkin syarat-syarat berikut boleh dijadikan panduan kasar oleh perwakilan dalam membuat pengundian Khamis ini:-

1. Tolak calon yang pernah didapati bersalah melalukan rasuah oleh Lembaga Disiplin;

2. Tolak calon yang didakwa di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia;

3. Tolak calon-calon yang pernah terbabit dengan kes-kes jenayah dan salah laku seks, sama disabitkan kesalahan atau tidak atas prinsip pemimpin bukan sahaja wajib bersih tetapi wajib nampak bersih;

4. Berhati-hati terhadap calon-calon yang disyaki mengamalkan rasuah dan sedang disiasat;

5. Pilih calon-calon yang terbaik;

6. Pilih yang agak baik daripada kalangan yang tidak baik;

7. Pilih calon-calon yang kurang bercakap tetapi banyak bekerja; dan

8. Pilih calon-calon yang boleh mewakili parti dan negara di majlis kecil di kampung terpencil dan sidang kemuncak antarabangsa di merata dunia.

Kalau perwakilan buat juga kerja-kerja yang buruk kerana disogokkan wang atau dijanjikan peluang, selain peluang untuk membuat kebaikan, janganlah hairan jika talkin yang dibacakan untuk Umno oleh musuh-musuhnya menjadi kenyataan.

Banyak parti politik dunia yang sezaman dengan Umno telah lenyap atau hidup segan mati tak mahu.


http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.