Kajian dasar PPSMI dibentang sebelum akhir Mac

KUANTAN 12 Mac — Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata hasil kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka dibentangkan ke kabinet sebelum berakhir bulan ini.

Beliau berkata kementeriannya perlu membuat kajian terperinci termasuk menerima maklumbalas daripada kementerian lain sebelum membentangkannya ke jemaah menteri.

“Kementerian Pelajaran telah mengedarkan memorandum mengenai PPSMI kepada semua kementerian yang terlibat untuk diberikan ulasan, bergantung kepada kementerian (lain) kembalikan ulasan mereka sebelum kita bawa ke Jemaah Menteri, saya rasa bulan ini juga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di sini, hari ini. Hishammuddin berharap semua pihak bersabar kerana kajian itu memerlukan tempoh tertentu dan ia melibatkan soal dasar. “Cohort penentu kepada PPSMI ialah cohort pertama yang melalui enam tahun PPSMI iaitu yang mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, dan keputusan UPSR 2008 baru dua setengah bulan diumumkan (hujung tahun lepas),” katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu rasional apabila memperkatakan isu itu tanpa melibatkan emosi atau mempolitikkannya.


“Kalau kita hendak membuat perubahan kepada dasar ini, kita perlu mengambilkira seramai 6.1 juta pelajar yang telah melalui dasar PPSMI, 126,000 guru-guru terlibat dan jumlah hampir RM3 billion yang kita laburkan dalam melaksanakan dasar ini, jadi ianya bukan satu perkara yang perlu dengan sewenangnya membuat keputusan,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

“Ada yang kata kita lambat buat kajian mengenai dasar ini, saya ingin menjelaskan bahawa dasar ini diperkenalkan pada 2003, dan cohort pertama baru saja mendapat keputusan UPSR hujung tahun lepas, kira-kira dua bulan setengah, tempoh dua bulan setengah itu sebenarnya bukan satu tempoh yang panjang (lama),” katanya.

Beliau juga amat berharap pejuang-pejuang bahasa tidak mempolitikkan perkara itu sebaliknya turut sama memberikan idea yang lebih bernas daripada mengadakan demonstrasi jalanan yang ’ternyata telah dipolitikkan pihak tidak bertanggungjawab’.

— BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.